Serdang: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan sektor pertanian terus kekal sektor utama negara sekali gus menjadi antara penyumbang ekonomi.

Bagaimanapun beliau berkata, kelangsungan sektor pertanian perlu seiring dengan pemerkasaan teknologi dan inovasi dalam pertanian agar menjamin kelangsungannya di negara ini.

“Kerajaan sedar sektor pertanian adalah sektor ekonomi strategik serta membabitkan faktor sosial khususnya kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara. Kerajaan memberi tumpuan memperkasakan sektor pertanian dan agro-makanan bagi menjamin bekalan makanan mencukupi dan selamat.

“Saya percaya inisiatif meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat petani, penternak dan nelayan dengan baik,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalannya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bagi memastikan mereka terbabit menerima jaminan masa depan lebih baik serta pendapatan tinggi, beliau berpendapat inisiatif memodenkan sektor yang dimulakan kementerian mesti diteruskan dengan memperkenalkan teknologi terkini dan berinovasi.

Ini kerana katanya, persaingan pasaran terbuka memerlukan negara mempertingkatkan produktiviti dan mengurangkan kos khususnya melalui penggunaan teknologi dan kaedah pengeluaran terkini serta pengamalan budaya inovasi di mana Malaysia kini berada di landasan betul bagi terus memperkasa teknologi dan inovasi dalam sektor pertanian dan agro makanan.

Katanya, kadar pengkormersialan teknologi dan inovasi pertanian dan industri asas tani ialah sebanyak 14 peratus, jauh lebih tinggi berbanding purata nasional 7 peratus dengan nilai pengkormersialan RM1.5 bilion.

“Penghasilan teknologi berkemampuan menyelesaikan masalah di lapangan atau lokasi pertanian faktor yang menyumbang kepada impak peningkatan hasil dan ia boleh dicapai dengan cara usahawan pertanian menjalin kerjasama penyelidikan dengan institusi pengajian tinggi negara.

“Sekarang bukan lagi seperti dulu yang mana kita menghasilkan pengeluaran untuk sara diri. Hari ini pertanian adalah satu bidang komersial yang mempunyai peluang agak besar.

“Sebab itu dengan konsep pertanian adalah perniagaan mengubah pemikiran bahawa mereka bukan setakat bertani, tetapi usahawan tani dan pengusaha yang menghasil dan memasarkan produk yang boleh membantu negara dari segi ekonomi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:10 AM