Azura Abas; Manirajan Ramasamy; Irwan Shafrizan Ismail dan Rizanizam Abdul Hamid

KERAJAAN sedang menjalankan kajian bagi merangka Dasar Agro Makanan 2.0 (2021-2030) bertujuan memacu sektor agro makanan sejajar dengan perkembangan teknologi dan revolusi industri 4.0.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dasar akan menyelaras semula pelaburan kerajaan dan swasta dalam pembangunan infrastruktur dan penggunaan teknologi moden, modal insan dalam pertanian serta pengkomersialan dan inovasi dalam sektor pertanian.

"Dasar baharu ini juga akan menyusun semula strategi untuk mempercepat proses pemodenan selain mengurus permintaan dan penawaran makanan.

"Ia sejajar hasrat kerajaan untuk menjadikan sektor agro makanan yang berdaya saing," ketika berucap pada perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2018) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

MAHA 2018 yang bertema ‘Makanan Kita Masa Depan Kita’ bermula hari ini hingga 2 Disember dan menampilkan kelainan dengan mempamerkan inovasi terkini dalam industri pertanian.

Acara dwitahunan yang menghimpunkan segala hasil pertanian terbaik dari seluruh negara itu dijangka dapat menarik lebih 3.5 juta pengunjung dengan sasaran jualan RM300 juta.

Selain itu Perdana Menteri berkata, kerajaan jugaakan membangunkan input alternatif dan sumber rezeki baharu seperti kelapa, nanas, tembikai, belimbing dan durian yang didapati mempunyai permintaan besar di pasaran tempatan dan global serta mempunyai nilai ekonomi yang baik.

Beliau berkata, sumber rezeki baharu itu akan dieksploitasi sepenuhnya menerusi pelbagai usaha penyelidikan dan pembangunan termasuk aspek perniagaannya.

"Bagi menjayakan hasrat ini, kerajaan komited untuk mengoptimumkan penggunaan kemudahan dan aset logistik sedia ada, merangkumi pusat pengumpulan dan pengedaran, kemudahan rantaian sejuk serta mesin

dan jentera pengangkutan.

"Secara tidak langsung, kesemua rantaian nilai sektor agro makanan akan dimanfaat sepenuhnya,sekaligus membolehkan masyarakat petani, penternak, nelayan dan usahawan asas tani memperoleh batas ekonomi yang lebih besar, akses kepada pasaran yang lebih luas dan rangkaian pengedaran yang lebih efisyen," katanya.

Dr Mahathir berkata, pada masa yang sama, langkah itu akan mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah yang melampau dan kerugian hasil lepas tuai yang tinggi.

Katanya, sektor pertanian akan terus kekal penting dan relevan kerana ia tidak lagi dilihat sebagai pengeluaran makanan tetapi sudah diterima sebagai faktor penting di dalam menjamin keselamatan makanan (‘food security’) negara.

"Walaupun ‘food security’ ditafsir sebagai bekalan makanan yang mencukupi untuk semua rakyat pada setiap masa, tanpa ditekankan sama da ia hasil negara atau diimport, Malaysia yang mempunyai tradisi pertanian yang meluas perlu memastikan bekalan itu sebahagian besarnya bergantung kepada penghasilan petani tempatan.

"Ledakan Revolusi 4.0 perlu menyedarkan pemain industri pertanian mengenai kepentingan penggunaan peralatan digital, teknologi baharu dan canggih dalam peranannya memastikan kapasiti pengeluaran yang jauh lebih tinggi.

"Ini kerana sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih agak kecil iaitu pada 8.17 peratus atau RM37.4 bilion tahun lalu sedangkan potensinya sangat besar dan boleh dikembangkan," katanya.

Dalam pada itu Dr Mahathir berkata, beliau mahu MAHA 2018 dijadikan landasan terbaik bagi masyarakat petani, penternak, nelayan dan usahawan industri asas tani untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan masing-masing kepada umum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 10:18 PM