Kota Kinabalu: “Penubuhan Malaysia adalah satu ‘perkahwinan’ kekal bersama Sabah dan mesti dipertahankan, bukan dicerai atau dirobohkan,” kata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Kali Ke-29, di sini, semalam.

Menurut Joseph, PBS berpendirian kukuh dalam mempertahankan Malaysia daripada anasir yang mahu memecah-belahkan perpaduan di negara ini.

“Kita harus mengambil pendekatan bahawa setiap rakyat Malaysia yang berbeza agama dan bangsa mempunyai harga diri serta sensitiviti tersendiri yang wajib dihormati,” katanya.

Joseph berkata, PBS menyokong pelaksanaan dan penguatkuasaan perundangan yang mampu memelihara perpaduan serta mempromosikan sikap hormat-menghormati sekali gus mengelakkan isu sensitif yang boleh menyinggung perasaan orang ramai.

“Namun, kerajaan perlu memastikan perundangan ini mestilah digunakan secara adil dan saksama tanpa membabitkan niat atau tujuan politik,” katanya.

Menurut Joseph, isu Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia serta beberapa perkara berkaitan termasuk sosial, kebanjiran pendatang dan anutan agama yang sering dibangkitkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab perlu ditangani segera kerana jelas mencabuli hak Sabah yang termaktub dalam Semangat 20 Perkara dan Perjanjian Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:08 AM