MUAZ menerima rawatan di HSJ, semalam.
MUAZ menerima rawatan di HSJ, semalam.

Butterworth: “Sebaik sampai di sekolah, saya rasa serba tak kena kerana melihat ramai ibu bapa berkerumun dalam keadaan cemas dan kelam-kabut menyebabkan saya keluar dari kereta untuk melihat apa yang berlaku.

“Hanya tuhan saja tahu perasaan saya apabila dimaklumkan anak saya Muaz digilis bas sekolah dan sudah dihantar ke hospital oleh guru menyebabkan saya bergegas untuk melihat keadaannya,” kata Hayati Ismail, 41, selepas anak lelakinya Muaz Saedin, 7, parah apabila kedua-dua paha kanak-kanak itu dilenyek tayar bas sekolah, petang, semalam.

Dalam kejadian jam 2.10 petang, Hayati mahu mengambil anaknya itu, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya 2, di sini, pulang ke rumah mereka di Taman Baru, Seberang Jaya.

Dia yang juga kakitangan Jabatan Kewangan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Balai Berita Perai berkata, kebiasaannya anak keenam daripada lapan beradik itu dijemput datuknya, Ismail Ahmad, 67, namun semalam dia terpaksa menggantikan bapanya yang demam.

“Sebaik sampai di Hospital Seberang Jaya (HSJ), saya terus menghubungi suami, Saedin Mat memaklumkan perkara menimpa Muaz dan kami menunggu di luar bilik kecemasan hampir tiga jam sebelum dapat melihat keadaan anak.

“Kami terkejut melihat keadaannya selepas doktor memaklumkan tulang kaki kirinya patah manakala kaki sebelah kanan paling teruk berikutan keadaan isinya hancur dan nampak tulang akibat dilenyek bas.

“Tambah menyayat hati, kami tidak boleh bercakap dengan Muaz kerana dia tidur berikutan doktor memberikan ubat bius bagi mengurangkan kesakitan,” katanya.

“Menurut ibu bapa yang menyaksikan kejadian itu, bas berkenaan dikatakan tidak berhenti dan meneruskan perjalanan sebaik menggilis anak saya, mungkin kerana pemandunya tidak sedar apa yang berlaku.

“Suami sudah ke balai polis petang tadi (semalam) untuk membuat laporan, namun diminta pulang berikutan tidak mempunyai butiran seperti nombor pendaftaran bas terbabit. Jadi, saya harap mereka mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu memaklumkannya kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Kewangan Kanan Jabatan Kewangan NSTP Balai Berita Perai Mohd Danir Haron berkata, pihak syarikat akan menghulurkan bantuan berdasarkan keperluan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:17 AM