HARJINDER Kaur (dua dari kanan) bersama mangsa penipuan Macau Scam pada Wawancara Khas Bersama KJSJK Selangor.
HARJINDER Kaur (dua dari kanan) bersama mangsa penipuan Macau Scam pada Wawancara Khas Bersama KJSJK Selangor.
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Tiada kata dapat menggambarkan perasaan seorang ibu tunggal apabila keseluruhan wang simpanannya berjumlah RM71,700 lebur selepas terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam, bulan lalu.

Wanita berusia 58 tahun itu kerugian wang berkenaan dalam tempoh dua hari selepas menerima panggilan telefon yang mendakwa dia terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram dan dadah pada 3 September lalu.

Dia yang enggan dikenali berkata, dia terpedaya dengan lakonan licik ahli sindiket yang menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai polis.

“Ada seorang lelaki mendakwa pegawai bank menelefon dan memberitahu saya ada tunggakan wang di bank di Terengganu, kemudian disambung talian itu kepada pegawai polis di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu yang kemudian mendakwa saya terlibat dengan kes dadah pula.

“Akibat panik, mereka meminta saya mengeluarkan sejumlah wang kononnya untuk menyelesaikan kes saya di mahkamah dan saya kemudian membuat tiga transaksi pengeluaran wang kepada akaun bank yang diberikan mereka,” katanya ditemui pada sesi wawancara khas bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor di sini, semalam.

Situasi sama turut menimpa lelaki warga emas berusia 78 tahun yang kerugian RM110,000 dalam masa sehari apabila ditipu sindiket Macau Scam, minggu lalu.

Menurut warga emas itu, dia ketakutan apabila diberitahu terbabit dengan kes dadah dan perlu membayar sejumlah wang sebagai syarat melepaskan diri.

Sementara itu, Ketua JSJK Selangor, Asisten Komisioner Harjinder Kaur Gurdial Singh berkata, pihaknya merekodkan 750 kes penipuan seperti itu membabitkan jumlah kerugian RM39.2 juta sepanjang Januari hingga September tahun ini.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu iaitu 731 kes dengan jumlah kerugian RM21.5 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 10:50 AM