ANTARA barangan rampasan sindiket Macau Scam.
ANTARA barangan rampasan sindiket Macau Scam.

Kuala Lumpur: Sanggup sewa dua banglo mewah di Damansara Height, di sini, dengan bayaran puluhan ribu ringgit sebulan untuk dijadikan ‘markas’ sindiket penipuan panggilan palsu.

Sindiket Macau Scam didalangi warga Taiwan itu dikesan menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi dengan menyamar sebagai pegawai bank tempatan dan antarabangsa.

Difahamkan sindiket yang beroperasi sejak lebih lima bulan lalu itu menipu orang ramai membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Bagaimanapun, sindiket terancang itu ditumpaskan selepas pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Kuala Lumpur melakukan serbuan dan menahan 37 suspek warga Taiwan di dua banglo di Damansara Height, di sini, semalam.

Sumber polis berkata, dalam serbuan jam 3 pagi itu, polis menyerbu dua banglo itu hasil risikan dilakukan terhadap sindiket berkenaan.

“Seramai 24 lelaki dan seorang wanita berjaya ditahan di banglo pertama sebelum 12 lagi suspek termasuk seorang wanita ditahan di rumah kedua,” katanya.

Sumber itu berkata, polis turut merampas 47 telefon talian tetap, 51 modem, 18 telefon bimbit, lapan komputer riba dan satu tablet.

“Polis turut merampas beberapa dokumen dipercayai digunakan suspek ketika melakukan penipuan terhadap mangsa.

“Difahamkan sindiket itu menyasarkan panggilan ke luar negara dengan menjadikan Malaysia sebagai pusat kegiatan penipuan mereka,” katanya.

Menurutnya, sindiket dipercayai membuat panggilan palsu dengan mendakwa mangsa mempunyai hutang kad kredit sebelum memperdayakan mangsa untuk membayarnya.

“Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan,” katanya..

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 6:36 AM