Kuala Lumpur: Tindakan seorang isteri meminta penjelasan berhubung penggunaan kad kredit milik suami menyebabkan dia dicampak keluar dari bilik tidur sebelum dipukul.

Dalam kejadian jam 8.30 malam kelmarin, mangsa yang berusia 25 tahun dipukul suaminya yang ‘naik hantu’ di rumahnya di Cheras di sini.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku selepas mangsa membuka surat penyata dihantar pihak bank yang memaklumkan kad kredit milik suaminya sudah melebihi had penggunaan.

Menurutnya, mangsa kemudian meminta penjelasan apa yang dibelanjakan suaminya.

“Suami mangsa pada mulanya enggan melayan dan meminta mangsa tidak mencampuri urusannya namun wanita itu tetap berkeras menyebabkan berlaku pertengkaran.

“Pergaduhan mulut itu bertukar ganas apabila suami mangsa mengamuk sebelum memukul dan mencampak mangsa keluar dari bilik tidur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 6:55 AM