Oleh Nabihah Kamal

Ampang: Seorang janda cedera teruk di muka selepas ditinju bertubi-tubi bekas suaminya yang datang menyerang rumah mangsa di Ampang Indah.

Lebih menyedihkan apabila suspek berusia 33 tahun turut membelasah bekas ibu mentuanya yang cuba menyelamatkan mangsa daripada terus dipukul separuh mati.

Dalam kejadian jam 6 petang kelmarin, mangsa berusia 23 tahun dikatakan berada di hadapan rumah sambil berbual di telefon bimbit.

Sumber berkata, suspek tiba-tiba muncul sebelum menceroboh masuk rumah mangsa dan menghamburkan kata-kata kesat.

Menurutnya, lelaki terbabit tiba-tiba ‘naik hantu’ kerana bekas isterinya itu tidak mengendahkan kehadirannya di rumah itu.

“Suspek berulang kali menengking bekas isterinya dengan bertanyakan ‘kau apa hal?’. Suspek kemudian menarik rambut mangsa sekuat hati.

“Suspek kemudian bertindak lebih agresif dengan menumbuk muka dan kepala mangsa hingga menyebabkan mangsa menjerit kesakitan,” katanya.

Menurutnya, ibu mangsa cuba membantu anaknya namun dia turut dibelasah hingga menyebabkan kecederaan di bahagian hidung.

“Suspek kemudian meninggalkan rumah mangsa selepas puas membelasah dua beranak itu. Susulan itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Ampang.

“Susulan itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya memberkas suspek sejam kemudian tidak jauh dari rumah mangsa,” katanya.

Berdasarkan laporan awal, mangsa mendakwa kerap diganggu dan berasa tertekan dengan tindakan ganas bekas suaminya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 8:16 AM