NURAZIZI (enam kiri) dan Liew (lima kanan) menyertai Program Sehari Pembersihan Jalan TAR.
NURAZIZI (enam kiri) dan Liew (lima kanan) menyertai Program Sehari Pembersihan Jalan TAR.
Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Persatuan Peruncit Batu Road (BARRA) berhasrat untuk mewujudkan sebuah tugu peringatan sebagai simbolik memperingati Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang dinamakan sempena Yang diPertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad.

Presiden BARRA Datuk Liew Vui Keong berkata, pemilihan reka bentuk tugu berkenaan akan dibuat menerusi satu pertandingan terbuka kepada orang ramai dijangka diadakan tidak lama lagi.

Katanya, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan memilih lokasi strategik untuk mendirikan tugu berkenaan.

“Jalan ini mempunyai sejarah dan nostalgia tersendiri. Kita tidak mahu ia menjadi terlalu kosmopolitan seperti Bukit Bintang dan juga Brickfields serta Jalan Petaling yang mempunyai karakter tersendiri.

“Kita mahu Jalan TAR ini kekal sebagai simbolik rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Bagaimanapun, ramai yang tersalah anggap jalan ini dinamakan sempena perdana menteri Malaysia pertama (Tunku Abdul Rahman Putra) yang sebenarnya dinamakan sempena Yang di-Pertuan Agong Pertama.

“Untuk mendidik generasi muda mengenai sejarah jalan ini, kita bercadang supaya satu monumen diwujudkan di kawasan ini sekali gus sebagai tarikan pelancong,” katanya pada sidang media selepas Program Sehari Pembersihan Jalan TAR dengan kerjasama DBKL, di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Pengarah Jabatan Pembangunan Fizikal DBKL Nurazizi Mokhtar yang mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Kira-kira 575 sukarelawan daripada iM4U, Bridged Sukarelawan PLKN, pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan ahli pengakap Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong Baru menyertai program itu.

Sementara itu, Nurazizi berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan mana-mana pertubuhan terutama NGO untuk membantu pihak berkuasa dalam menjaga kebersihan bandar Kuala Lumpur.

Katanya, ia penting terutama apabila Jalan TAR dianggap sebagai daerah membeli-belah yang menjadi tumpuan orang ramai pada setiap masa termasuk pelancong luar negara.

“Kita mengalu-alukan inisiatif NGO turun padang mengadakan program seumpama ini dan ia selaras usaha kerajaan untuk melakukan transformasi terhadap bandaraya Kuala Lumpur.

“Kita harap ini dijadikan sebagai contoh program untuk diadakan di kawasan lain pula selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:07 AM