Maiamalina Mohamed Amin; Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


PERSATUAN penjaja dan peniaga pasar malam tidak berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan semula perniagaan mereka yang disifatkan terlalu ketat, perlu berunding terlebih dulu dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk dibawa ke Mesyuarat Khas Jemaah Menteri.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini pembentangan SOP itu dilakukan DBKL dalam mesyuarat khas itu.

"Kita menerima pembentangan daripada DBKL kerana kita difahamkan mereka sudah berbincang dengan persatuan penjaja.

"Apabila mereka (DBKL) bentang, kita bersetuju kerana masa itu mereka (persatuan) mengadu apabila kerana tidak boleh menjalankan perniagaan.

"Jika ada perkara dianggap menyusahkan mereka, jadi kita minta persatuan berjumpa balik dengan DBKL untuk berbincang perkara kurang bersetuju itu," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, selepas perbincangan dilakukan, DBKL boleh membawa semula usul ke mesyuarat khas menteri untuk dipertimbangkan.

"Kita akan bincang balik, kalau DBKL merasakan perlu pindaan dan bawa ke jawatankuasa khas menteri yang di dalamnya terdiri daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kalau kita merasakan boleh pinda (SOP) mengikut kehendak mereka, Insya-Allah kita pinda, tetapi berunding dulu dengan DBKL," katanya.

Sebelum ini, kira-kira 500 penjaja dan peniaga Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur memilih menangguhkan dahulu pembukaan semula perniagaan mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) susulan SOP terlalu ketat.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong TAR, Azkhalim Suradi, berkata meskipun mereka sudah dibenarkan beroperasi semula pihaknya berpendapat SOP itu perlu dikaji kerana tidak munasabah untuk dilaksanakan ke atas pasar malam.

Pada 6 Jun lalu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju membenarkan pembukaan semula pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria di seluruh Wilayah Persekutuan bermula 15 Jun ini, namun tertakluk kepada SOP ketat.

PENJAJA dan peniaga Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) memilih menangguhkan dahulu pembukaan semula perniagaan mereka sepanjang PKPP susulan SOP terlalu ketat. FOTO Arkib NSTP
PENJAJA dan peniaga Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) memilih menangguhkan dahulu pembukaan semula perniagaan mereka sepanjang PKPP susulan SOP terlalu ketat. FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 3:44 PM