Kenderaan melalui Jalan TAR yang dibuka semula kepada semua. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Kenderaan melalui Jalan TAR yang dibuka semula kepada semua. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohamad Hussin


PERSATUAN Peruncit Jalan Batu (BARRA) menyambut baik langkah kerajaan membuka semula laluan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur kepada semua kenderaan dan berharap ia kekal.

Naib Presiden BARRA, Datin Rohana Mohammad Nasir berkata, pihaknya sangat bersetuju dan mengalu-alukan kerjasama semua pihak demi kepentingan bersama.

Beliau berkata, BARRA berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana mendengar rintihan peniaga.

“Sejak DBKL menutup Jalan TAR sebagai kawasan pejalan kaki pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum, mata pencarian kami terjejas teruk.

“Ini kerana bilangan pengunjung yang membeli belah di Jalan TAR kebanyakan pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

“Sejak laluan ini dibuka semula Sabtu lalu, perniagaan kami naik sedikit,” katanya hari ini.

Rohana berkata, kesempatan itu memberi peluang kepada pengunjung umat Islam untuk membuat persiapan membeli belah sempena hari raya.

“Kita percaya pengunjung akan datang membeli belah di sini kerana mereka tidak perlu berjalan kaki terlalu jauh dengan tempat meletak kenderaan.

“Kebanyakan pembeli adalah mereka yang membeli secara pukal. Ia sangat memudahkan mereka selepas laluan ini dibuka semula,” katanya.

Khamis lalu, akhbar melaporkan Kementerian Wilayah Persekutuan memutuskan membuka semula Jalan TAR kepada pengguna jalan raya bagi memberi kemudahan kepada orang awam membeli barangan keperluan Aidilfitri mulai Sabtu lalu.

Khalid dipetik sebagai berkata, pembukaan sementara laluan itu hingga Julai ini dibuat selepas berbincang dengan BARRA dan Persatuan Perniagaan Masjid India (MIBA).

Sebelum ini, DBKL menutup Jalan TAR pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang April bagi menjadikannya kawasan pejalan kaki bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 12:09 AM