Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) menyifatkan peruntukan dana sebanyak RM100 juta untuk dua inisiatif di bawah agenda kebangsaan akan memberi manfaat kepada 100,000 orang daripada kumpulan B40.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yasmin Mahmood berkata, MDeC gembira dengan sokongan berterusan daripada kerajaan untuk meluaskan faedah untuk eRezeki dan berharap meningkatkan jumlah bilangan pusat eRezeki kepada 66 pusat pada tahun depan daripada 33 kini.

“Kami juga berminat untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk memupuk usahawan digital masa depan yang boleh menjana pendapatan dengan memanfaatkan permintaan berterusan untuk produk dan perkhidmatan digital,” katanya.

eRezeki adalah inisiatif yang dilancarkan MDeC pada Jun lalu untuk memajukan kumpulan B40 dengan peluang-peluang untuk mendapatkan pendapatan tambahan menggunakan teknologi.

eUsahawan inisiatif yang akan mendedahkan pelajar yang mendaftar dalam Institut Latihan dan Pendidikan Teknik Vokasional (TVET) institusi dan usahawan mikro kepada model perniagaan serta peralatan digital, pengalaman praktikal dan pembangunan usahawan terkini di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 6:39 AM