NAJIB (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat majlis pelaksanaan MSC Malaysia. Turut kelihatan Ahmad Zahid (kiri) dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak (kanan). NSTP/Mohd Fadli Hamzah
NAJIB (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat majlis pelaksanaan MSC Malaysia. Turut kelihatan Ahmad Zahid (kiri) dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak (kanan). NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Sumbangan industri ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan pengukuhan apabila meningkat dari 16.38 peratus pada 2013 kepada 17 peratus tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, angka itu membuktikan ekonomi digital negara berada pada landasan yang betul apabila sasaran 17 peratus yang ditetapkan oleh Digital Malaysia menjelang 2020 sudah dicapai tahun lalu.

"Asas utama kepada industri ini adalah MSC Malaysia dan sejak penubuhannya pada 1996, MSC Malaysia sudah menyumbang lebih RM295 bilion kepada perolehan ekonomi negara, menarik pelaburan bernilai RM283 bilion dan mewujudkan 147,000 pekerjaan.

"MSC Malaysia juga terus menarik pelaburan daripada syarikat bertaraf dunia dalam pelbagai industri," katanya ketika berucap sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia ke-27 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Najib berkata, berdasarkan pencapaian memberangsangkan ini, beliau yakin Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin ICT dan pemacu kepada ekonomi digital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 11:28 AM