SEBAHAGIAN peserta Kayuhan Santai di  depan Bangunan Merah Bandar Hilir.
SEBAHAGIAN peserta Kayuhan Santai di depan Bangunan Merah Bandar Hilir.

Melaka: Seramai 60 pemilik basikal tua menyertai program Kayuhan Santai sejauh 20 kilometer mengelilingi bandar raya ini bermula dari Kampung Batu Berendam sehingga ke bangunan Stadthuys, di sini, semalam.

Kayuhan anjuran Kelab Basikal Tua Batu Berendam itu turut disertai pelancong dari United Kingdom, England, Julian Spencer, 66, dan ahli Kelab Speda Tua Bachang; Kelab Basikal Klasik Muar, Johor; Kelab Basikal Klasik Perak serta Negeri Sembilan.

Pengerusi program Khusyaire Kessler berkata, program kayuhan yang menghimpunkan puluhan peserta dari beberapa negeri itu bertujuan memperkenalkan keunikan Melaka kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya, ia sebahagian daripada sumbangan kelab itu kepada industri pelancongan di negeri ini selain menyuntik minat generasi muda terhadap kenderaan antik berkenaan.

“Dalam kayuhan ini, peserta dibawa melalui beberapa kawasan antaranya Kawasan Perindustrian Batu Berendam, Peringgit, Hospital Melaka, Masjid Al-Azim, Bukit Palah, Jalan Taming Sari dan Little India,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, kayuhan disertai peserta wanita, remaja, kanak-kanak dan warga emas itu turut berjaya menarik minat pelancong untuk bergambar dengan basikal berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:06 AM