TONGGAK penting di sebalik Klinik Veterinar Bergerak, Fakulti Perubatan Veterinar UPM.
TONGGAK penting di sebalik Klinik Veterinar Bergerak, Fakulti Perubatan Veterinar UPM.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PASUKAN Klinik Veterinar Bergerak Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi tonggak penting dalam memberi rawatan dan menyelamatkan haiwan yang terkesan dalam musibah banjir di Lembah Klang, baru-baru ini.

Meskipun dianggap wira yang tidak didendang, namun pasukan berkenaan tidak gentar untuk turun ke lokasi bencana sebaik sahaja mendapat maklumat bagi memberi rawatan kepada haiwan peliharaan mahupun yang terbiar di jalanan.

Menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diubah suai menjadi sebuah klinik bergerak, pasukan berkenaan maju ke hadapan untuk menabur bakti bagi memastikan haiwan mendapat penjagaan sewajarnya.

Timbalan Dekan, Hospital Veterinar Universiti (UVH) UPM, Profesor Dr Jalila Abu berkata, selepas bencana banjir, pihaknya terus menggerakkan pasukan klinik bergerak veterinar itu ke pelbagai lokasi termasuk ke Pontian, Johor dan Gombak, Selangor untuk membantu mendidik masyarakat dan merawat haiwan yang memerlukan.

Kata beliau, selain menyediakan pemeriksaan kesihatan secara percuma, pasukan klinik bergerak itu turut mengadakan pelbagai program kesedaran kepada masyarakat mengenai penjagaan haiwan yang betul.

Katanya, ia turut disertai pelajar tahun akhir dan pelajar yang terbabit dengan Projek Pengkasian Haiwan Terbiar (PROKASIH) yang diterajui fakulti berkenaan.

DR Farina yang bertanggungjawab mencetuskan idea membuka Klinik Veterinar Bergerak untuk membantu haiwan mangsa bencana banjir di Shah Alam dan Hulu Langat Selangor, baru-baru ini.
DR Farina yang bertanggungjawab mencetuskan idea membuka Klinik Veterinar Bergerak untuk membantu haiwan mangsa bencana banjir di Shah Alam dan Hulu Langat Selangor, baru-baru ini.

"Selain mendapat pendedahan, pelajar juga berpeluang mengendalikan pemeriksaan kesihatan dan pelbagai kes kesihatan haiwan, ilmu itu berguna selepas mereka tamat belajar kelak.

"Namun, kami akui terdapat kekangan kemudahan yang ada pada klinik bergerak itu disebabkan saiz kenderaan yang digunakan.

"Insya-Allah jika mempunyai dana yang mencukupi, impian kami adalah memiliki bas sendiri untuk dijadikan sebagai Klinik Veterinar Bergerak yang lebih banyak kemudahan dan selesa ," katanya.

Cetusan idea Klinik Veterinar Bergerak itu sebenarnya diketuai Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Veterinar, Dr Farina Mustaffa Kamal dan Ketua Jabatan, Profesor Madya Dr Nurul Hayah Khairuddin serta digerakkan dengan beberapa tonggak penting lain termasuk Pegawai Perunding UVH, Profesor Madya Dr Chen Hui Cheng.

Menurut Dr Nurul Hayah, program Klinik Veterinar Bergerak itu secara tidak langsung turut menjayakan program pengembangan pihak universiti.

ORANG ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan pemeriksaan dan rawatan untuk haiwan peliharaan masing-masing di Klinik Veterinar Bergerak.
ORANG ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan pemeriksaan dan rawatan untuk haiwan peliharaan masing-masing di Klinik Veterinar Bergerak.

Kata Dr Nurul Hayah, apabila mereka mengadakan program, ia secara tidak langsung turut membabitkan sumbangan pemerkasaan pengetahuan dan pendidikan kepada masyarakat.

"Ini kerana tugas veterinar bukan hanya untuk merawat haiwan kesayangan (seperti anjing dan kucing) semata-mata tetapi terdapat banyak cabang dalam bidang veterinar lain yang belum diketahui masyarakat.

"Jadi, apabila kami turun padang, tugasnya bukan hanya untuk memeriksa atau memberi rawatan sahaja kerana lebih daripada itu, kami juga mahu memberi kesedaran dan memperkasakan masyarakat dengan maklumat yang tepat mengenai penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia serta penjagaan haiwan," katanya.

Dalam pada itu, bencana banjir yang berlaku di Lembah Klang akhir Disember lalu benar-benar membuka mata banyak pihak bahawa selain keselamatan manusia dan harta benda, nyawa haiwan juga perlu menjadi keutamaan.

Kata Dr Farina, ketika bencana tempoh hari, pihaknya melaksanakan misi bantuan kecemasan dan perubatan haiwan terkesan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam serta Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor.

HAIWAN yang dihantar diperiksa dengan teliti.
HAIWAN yang dihantar diperiksa dengan teliti.

Inisiatif itu katanya, adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA), Persatuan Doktor Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor, Yayasan Hasanah, alumni fakulti, klinik veterinar swasta, sukarelawan dan banyak lagi.

"Sebanyak 1,596 ekor haiwan seperti kucing, anjing, arnab, Guinea Pig, Hedgehog, hamster, kambing, kura-kura dan burung sudah diperiksa serta dirawat dengan sebaiknya.

"Seperti manusia, haiwan juga perlu mendapat perhatian sewajarnya dan kami terpanggil untuk membantu haiwan yang terjejas," katanya.

Mengulas lanjut Dr Farina berkata, setiap kali misi bantuan diadakan biasanya tiga doktor veterinar termasuk staf terlatih akan diperlukan.

"Namun ia bergantung kepada jenis haiwan yang ingin dirawat," katanya.

FAKULTI Perubatan Veterinar UPM jadi tonggak penting selamatkan haiwan terkesan selepas banjir.
FAKULTI Perubatan Veterinar UPM jadi tonggak penting selamatkan haiwan terkesan selepas banjir.

Sepanjang mengadakan misi bantuan terhadap haiwan, terdapat kejadian yang meruntun hati doktor kecil molek itu.

Katanya, ketika sibuk merawat kucing mangsa banjir di Hulu Langat tempoh hari, ada seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan Klinik Veterinar Bergerak dan tiba-tiba dia kelihatan sebak.

"Dia seakan tidak percaya kami ada di sana untuk membantu haiwan yang turut menjadi mangsa banjir.

"Selain itu, ada sekumpulan kanak-kanak yang berjalan kaki dari jauh semata-mata menghantar kucing yang ditemui selepas banjir untuk mendapatkan rawatan.

KANAK-kanak turut tampil membantu menghantar kucing mangsa banjir di Hulu Langat ke Klinik Veterinar Bergerak.
KANAK-kanak turut tampil membantu menghantar kucing mangsa banjir di Hulu Langat ke Klinik Veterinar Bergerak.

"Keprihatinan mereka benar-benar memberi makna tersendiri dan semua itu menguatkan lagi semangat kami untuk terus membantu haiwan yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 6:30 AM