MAX kucing baka Maine Coon yang penyayang.
MAX kucing baka Maine Coon yang penyayang.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


JIKA sekali pandang, pasti ada yang gentar melihat betapa 'besarnya' saiz badan kucing baka Maine Coon yang diberi nama Drimbaqaseh Maximus King Arthur ini.

Apa tidaknya, jika ia berdiri, panjang badannya hampir menyamai tinggi kanak-kanak tadika.

Tambahan pula, wajah kucing kesayangan Julieka Mat Nasir, 36, itu kelihatan agak garang lebih-lebih keseluruhan bulu badannya juga berwarna hitam.

Namun, semua itu hanya penampilan luaran kerana kucing yang dipanggil Max itu sebenarnya sangat jinak dan suka berkawan.

Julieka yang mesra disapa Julie itu berkata, Max sering disalah anggap sebagai kucing yang garang sedangkan hakikatnya ia sangat manja dan suka dibelai.

Katanya, sesuai dengan bakanya, fizikal Max besar dan tegap manakala telinganya agak runcing.

"Meskipun saya mempunyai banyak lagi kucing lain di rumah, namun Max bukan 'abang long kawasan.'

"Dengan kucing lain Max tidak suka cari pasal. Malah saya dan suami juga tidak pernah digigitnya.

"Pendek kata, Max ni muka sahaja nampak garang, tetapi dalam hati ada taman selain ia kucing penyayang," katanya.

Menurut Julie lagi, ramai menyangka kucing berbulu hitam tidak memerlukan penjagaan rapi berbanding kucing berbulu putih.

Sebaliknya kata Julie, kucing berbulu hitam sebenarnya tidak boleh sering terdedah kepada cahaya matahari kerana akan memudarkan kecantikan warna bulunya.

MAX sering dibawa menyertai pameran dan pertandingan kucing sekitar Lembah Klang.
MAX sering dibawa menyertai pameran dan pertandingan kucing sekitar Lembah Klang.

"Kucing baka ini memiliki bulu lembut yang agak panjang, jadi perlu sentiasa disikat supaya kekal cantik.

"Selain itu, untuk 'grooming' pula, bulunya perlu dikeringkan menggunakan alat pengering dengan suhu rendah.

"Kebiasaannya jika mahu menyertai pameran atau pertandingan, saya ambil masa hampir dua jam untuk mendandannya, kalah tuannya," katanya.

Tambah isteri kepada guru, Kamisan Saimin itu lagi, dia dan suami juga teliti dalam hal pemakanan dan penjagaan bulu Max.

Ini kerana Max sering dibawa bertanding selain terbabit dalam pelbagai pameran kucing di sekitar Lembah Klang.

Katanya, selain makanan biasa, Max dan kucing belaannya yang lain turut diberi makan ayam rebus dan daging mentah.

JIKA berdiri tegak, panjang badannya hampir menyamai ketinggian kanak-kanak tadika.
JIKA berdiri tegak, panjang badannya hampir menyamai ketinggian kanak-kanak tadika.

Selain itu, semua kucing berkenaan juga divaksin dan diberi vitamin yang sesuai.

"Seperti manusia, kucing juga perlu diberi makanan berkhasiat dan secukupnya. Kami tidak kisah mengeluarkan belanja agak banyak setiap bulan asalkan ia terjaga.

"Ini kerana makanan memainkan peranan penting dalam memastikan kucing kekal sihat, ceria dan memiliki bulu yang cantik.

"Komitmen memelihara kucing itu sama seperti menjaga anak. Kita tidak boleh main-main kerana ia adalah haiwan yang bernyawa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 7:00 AM