KAMISAN bersama kucing kesayangannya daripada baka Cornish Rex. FOTO Genes Gulitah
KAMISAN bersama kucing kesayangannya daripada baka Cornish Rex. FOTO Genes Gulitah
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Jika melihat kepada fizikal, ramai yang menyangkakan kucing baka Cornish Rex mempunyai kaitan dengan kucing baka Sphynx.

Namun, dua jenis baka itu sememangnya tiada kaitan dan susur galur asalnya juga jauh berbeza antara satu sama lain.

Menurut pemilik kucing baka Cornish Rex, Kamisan Saimin, 47, kucing berkenaan memiliki tubuh yang langsing dan berotot manakala kerangka badannya juga agak melengkung.

Katanya, berbanding baka Sphynx yang tidak berbulu, baka Cornish Rex memiliki bulu pendek beralun dan terbalik.

"Personalitinya juga unik kerana kucing Cornish Rex sangat aktif seperti kucing baka tempatan namun ia jinak, penyayang dan sukakan perhatian.

"Walaupun memiliki banyak keistimewaan namun diakui ia tidak mempunyai ramai peminat kerana fizikal dan bulunya yang tidak gebu," katanya.

Jelas Kamisan lagi, kucing baka berkenaan juga memiliki struktur muka bujur, hidung tajam selain bentuk telinga yang besar.

Katanya, meskipun berasal dari luar negara namun penjagaan kucing berkenaan tidak rumit seperti baka import lain.

"Begitupun, kulitnya agak sensitif kerana ia tidak memiliki bulu yang tebal.

KUCING Cornish Rex memiliki bulu pendek yang beralun dan terbalik. FOTO Genes Gulitah
KUCING Cornish Rex memiliki bulu pendek yang beralun dan terbalik. FOTO Genes Gulitah

"Disebabkan ia sentiasa aktif dan tidak duduk diam, kulit badan kucing Cornish Rex juga mudah terluka serta tercalar," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pemakanan pula, Kamisan yang juga seorang guru berkata, kucing baka itu tidak boleh diberi makan yang terlalu banyak dan perlu dikawal.

Ini kerana berat ideal bagi kucing baka itu adalah hanya tiga kilogram sahaja.

Namun disebabkan ia dipelihara dengan kucing baka lain di rumah ini, kadang-kala pemakanannya tidak dapat dikawal.

"Pantang melihat bekas makanan kucing lain dipenuhi makanan, pasti ia akan menyibuk dan tumpang sekaki.

"Apapun, jika ada pameran atau pertandingan dalam masa terdekat, dietnya akan dikawal kerana jika tidak, ia akan terlebih makan," katanya.

Sementara itu, Kamisan dan isterinya, Julika Mat Nasir, 38, turut aktif menyertai pameran dan pertandingan kucing di seluruh negara.

Selain Cornish Rex, pasangan itu memiliki kira-kira 40 ekor kucing pelbagai jenis baka termasuk Bengal, British ShortHair, Maine Coon, Persian, Exotic Shorthair dan banyak lag

"Sebagai 'breeder' yang berdaftar, antara tujuan utama kami menyertai pameran dan pertandingan itu adalah supaya dapat mengetahui kucing yang dibiak ini berjaya memenuhi standard yang ditetapkan.

"Selain itu, melalui pameran dan pertandingan juga kami mendapat banyak ilmu dan tip penjagaan kucing yang berguna daripada pemilik kucing lain.

"Ini kerana setiap kucing ada ragamnya sendiri dan ia tidak akan

sama meskipun daripada baka sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 6:27 AM