ANAK-anak Sulcata diberi sayuran bercampur serbuk kalsium.
ANAK-anak Sulcata diberi sayuran bercampur serbuk kalsium.
Hafiz Ithnin


BEDAH begitu popular dalam kalangan peminat haiwan kesayangan di media sosial kerana sering menanduk tuannya apabila melihat rona hijau di depan mata dan pernah lari dari rumah!.

Haiwan itu adalah kura-kura jenis Sulcata atau nama sainstifiknya, Geochelone sulcata yang dimiliki Muhammad Jantan, 29.

Bukan seekor Sulcata, tetapi lelaki itu memiliki 10 ekor kura-kura yang mampu hidup lebih 80 tahun itu.

Segala-galanya bermula apabila dia melihat ramai pemengaruh media sosial dari Indonesia memiliki haiwan itu sebagai binatang peliharaan.

Muhammad berkata, dia sememangnya seorang yang sukakan pelbagai jenis haiwan dan antara yang dimiliki adalah ikan perhiasan dan kucing.

"Pada Jun tahun lalu, saya membuat keputusan untuk membeli dua ekor Sulcata yang ketika itu baharu berusia kira-kira empat bulan pada RM500 seekor.

"Kemudian pada September dan Oktober pula saya membeli lagi tiga anak Sulcata pada sekitar usia yang sama. Pada Disember pula saya membeli tiga ekor sulcata yang berusia antara 30 hingga 40 tahun dengan berat mencecah 40 kilogram (kg) dua betina dan seekor jantan.

Harga yang dibeli untuk Sulcata betina dewasa itu adalah RM4,500 seekor dan jantan pula RM3,500 seekor," katanya yang turut menjelaskan haiwan itu memerlukan lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Antara Jun sehingga Disember tahun lalu, Muhammad juga membeli empat anak sulcata dengan satu daripadanya diberikan kepada kakaknya untuk dijaga.

Keadaan itu menjadikan Muhammad mempunyai sepuluh Sulcata yang dijaga sendiri.

SEHARI Muhammad perlu menyediakan sehingga lima kilogram makanan sehari.
SEHARI Muhammad perlu menyediakan sehingga lima kilogram makanan sehari.

Ditanya mengenai 'ketagihannya' membeli sehingga 11 Sulcata, katanya, dia bercadang untuk menjadi pembaka Sulcata kerana harga jualan haiwan itu agak tinggi di negara ini.

"Hasil daripada jualan anak-anak Sulcata itu saya gunakan untuk membuka rumah makan percuma di Melaka pada tahun depan.

"Sulcata ini mempunyai harga jualan yang agak tinggi di Malaysia. Bagi sulcata betina mampu bunting antara tiga hingga enam kali setahun dengan jumlah telur keseluruhan mencecah 120 biji.

"Kadar telur yang tidak menjadi juga agak rendah. Jadi ia mampu menjadi modal untuk saya membuka rumah makan percuma itu," katanya.

Bercerita mengenai dunia Sulcata katanya, haiwan itu sebenarnya pada tahun pertama amat memerlukan penjagaan yang rapi kerana pada usia bayi, ia mudah dijangkiti pelbagai penyakit antaranya hidung berair dan penyakit mata.

Jelasnya lagi, Sulcata yang di bawah usia setahun diletakkan di dalam satu rumah khas yang mempunyai pencahayaan ultraungu B (UVB) dan ultraungu A (UVA) bagi memastikan suhu panas yang diperlukan mencukupi.

"Selain itu, anak-anak Sulcata ini juga saya tidak campurkan dengan Sulcata dewasa kerana khuatir ia akan terhempap dan boleh menyebabkan kecederaan.

"Saya juga perlu memastikan tahap kesihatan pada tahun pertama ini dalam keadaan yang baik terutama dengan memberikan diet dan vitamin iaitu serbuk kalsium yang mencukupi kepada mereka," katanya.

Bagi Sulcata yang sudah dewasa, Muhammad mempunyai satu kandang khas yang dibina berhampiran rumah ibunya untuk memberi kebebasan haiwan itu bergerak.

Katanya, Sulcata memerlukan pergerakan yang banyak demi tumbesaran yang baik dan tidak digalakkan untuk disimpan di dalam ruang yang kecil.

"Setiap petang saya akan bawa anak-anak Sulcata ke rumah Sulcata dewasa tetapi perlu dipantau.

"Lebih banyak ia bergerak, lebih baik untuk kesihatannya. Perkara ini kerana terdapat penjaga Sulcata yang membela haiwan itu di dalam bekas yang sempit menyebabkan tumbesarannya terbantut," katanya.

Tambahnya, dalam tempoh lima tahun pertama, Sulcata mempunyai tumbesaran yang agak cepat. Misalnya, pada tahun pertama dia memiliki anak haiwan itu, ia hanya mempunyai diameter 10 sentimeter (cm) dan apabila masuk tahun kedua ia sudah membesar kepada 20 (cm).

"Disebabkan itu, harga Sulcata yang sudah melebihi usia lima tahun lebih mahal kerana pada tahap itu ia sudah matang dan penjagaan lebih mudah berbanding usia masih muda," katanya.

Menjelaskan mengenai diet, katanya, Sulcata adalah haiwan yang makan dengan banyak dan setiap hari dia perlu menyediakan sehingga lima kilogram (kg) sayur-sayuran untuk semua Sulcata miliknya.

"Sehari saya hanya memberikan makanan sekali sahaja dan Sulcata adalah sejenis haiwan yang sentiasa makan. Jadi, setiap hari saya sediakan makanan dalam kapasiti yang banyak tetapi hanya sekali sahaja sehari.

"Sulcata ini makan semua jenis sayuran dan buah-buahan. Tapi saya elakkan memberi bayam dan kobis putih kerana mengandung zat racun yang membahayakan sistem pencernaan haiwan ini.

"Selain itu, saya juga berikan buah-buahan dan palet khas untuknya. Dua hari sekali makanan akan dicampurkan dengan serbuk kalsium," katanya.

Katanya, haiwan itu adalah kura-kura darat dan tidak boleh berenang. Jika berada di dalam air hanya pada waktu yang sekejap sahaja untuk memberi keselesaannya melakukan proses pencernaan.

"Jika ingin membersihkannya pun kita tidak boleh rendam di dalam air melebihi cengkerang bawahnya dalam tempoh yang lama kerana khuatir lemas," katanya.

Tambahnya, memiliki Sulcata memerlukan ilmu pengetahuan yang baik terutama dari segi penjagaan kesihatan, tempat tinggal dan diet.

"Selain itu, pemilik juga perlu mempunyai jiwa. Misalnya, tahap kerajinan untuk membersihkan lokasi tempat tinggalnya perlu dilakukan setiap hari.

"Memandangkan ia makan dengan banyak, jadi najisnya juga banyak. Jika tempat tinggal tidak dibersihkan ia boleh mengundang penyakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 7:00 AM