PASTIKAN haiwan eksotik yang ingin dibela mempunyai lesen sekiranya perlu. - FOTO Pexels
PASTIKAN haiwan eksotik yang ingin dibela mempunyai lesen sekiranya perlu. - FOTO Pexels
Hafiz Ithnin


Menjadikan haiwan eksotik sebagai haiwan kesayangan bukan lagi perkara baharu di Malaysia.

Malah, ruangan Kubela ini sentiasa menemu bual pemilik pelbagai jenis haiwan kesayangan yang tidak terjangkau dek pemikiran.

Bukan sahaja ular, daripada biawak, ulat gonggok sehingga kumbang, hakikatnya bukan menjadi sesuatu perkara pelik.

Justeru, kali ini kami ingin kongsikan beberapa tip yang mungkin boleh digunakan jika anda mahu menjadikan haiwan eksotik sebagai haiwan kesayangan.

1. Maklumat

Sebelum anda bercadang membeli atau mendapatkan haiwan eksotik, perkara lebih utama perlu diketahui adalah mengenai sifat, habitat dan cara penjagaan.

Perkara ini penting supaya haiwan eksotik yang anda miliki tidak terseksa kerana anda tidak memiliki ilmu yang betul dari segi penjagaan.

Anda boleh mendapatkan maklumat mengenai haiwan itu ketika ini dengan mudah kerana di media sosial banyak kumpulan yang mempunyai minat menjadikan haiwan eksotik sebagai haiwan kesayangan.

Pengalaman daripada peminat haiwan berkenaan boleh dijadikan panduan anda untuk membela haiwan berkenaan kelak.

2. Keselamatan

Jika anda bercadang memiliki haiwan eksotik yang diketahui umum mempunyai sifat menyerang manusia. Perkara ini adalah lebih penting untuk diketahui dan difahami.

Haiwan meskipun dilihat mempunyai ciri-ciri penyayang, apabila terancam pasti menyerang termasuk si pemilik. Malah, laporan mengenai pemilik haiwan kesayangan yang buas seperti buaya bukan perkara baharu.

Justeru, anda dinasihatkan mempunyai persiapan rapi untuk berdepan situasi di luar jangka supaya tidak menjadi mangsa serangan haiwan kesayangan anda sendiri.

FAHAMI sifat haiwan eksotik yang ingin dipelihara supaya tidak mengancam keselamatan. - FOTO Pexels
FAHAMI sifat haiwan eksotik yang ingin dipelihara supaya tidak mengancam keselamatan. - FOTO Pexels

3. Makanan

Makanan haiwan eksotik kadangkala mempunyai diet berbeza. Pastikan anda mempunyai persediaan yang cukup rapi daripada segi bajet menyediakan makanan yang berkualiti untuk haiwan kesayangan anda itu.

Pastikan makanan itu benar-benar berkualiti kerana kesilapan memberikan diet yang sesuai boleh menyebabkan haiwan anda jatuh sakit. Perlu diingatkan makanan adalah perkara asas yang penting bagi memastikan haiwan kesayangan anda terus sihat.

PASTIKAN makanan yang diberikan sesuai dengan diet diperlukan. - FOTO Pexels
PASTIKAN makanan yang diberikan sesuai dengan diet diperlukan. - FOTO Pexels

4. Lesen

Ada beberapa haiwan yang perlu memerlukan anda mendapatkan lesen memilikinya daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang perlu anda mohon sebelum memiliki sesuatu haiwan eksotik.

Jika haiwan yang dibela memerlukan lesen pastikan anda berbuat demikian supaya tidak melanggar undang-undang. Malah, lesen ini juga bagi memastikan keselamatan haiwan itu dilindungi.

5. Tempat penjagaan

Perkara ini juga tidak boleh dipandang remeh kerana sesetengah haiwan kesayangan eksotik memerlukan tempat penjagaan yang khusus seperti perlu mempunyai pencahayaan tertentu dan kelembapan tertentu.

Selain itu, saiz bekas atau tempat simpanan haiwan berkenaan juga perlu bersesuaian supaya ia tidak hidup dalam keadaan terlalu kecil dan memberi rasa tidak selesa.

Jika haiwan berasa tertekan boleh menyebabkannya mudah jatuh sakit dan paling ditakuti pasti jangka hayatnya juga pendek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 6:44 AM