PILIH haiwan yang benar-benar anda suka.
PILIH haiwan yang benar-benar anda suka.
Hafiz Ithnin

MEMELIHARA haiwan kesayangan sememangnya tidak dinafikan mampu memberi keseronokan dan kepuasan tersendiri.

Malah, ada antara pemilik yang berasakan memiliki si comel masing-masing adalah terapi kepada diri sendiri.

Bagi pemilik, memperuntukkan masa untuk membelai haiwan kesayangan masing-masing sudah menjadi keperluan dan tidak kurang juga sanggup berhabis wang ringgit demi memastikan haiwan mereka dalam keadaan terjaga serta sihat.

Namun, bagi mereka yang baharu sahaja ingin memelihara binatang kesayangan pasti masih tercari-cari mengenai 'identiti' diri.

Perkara ini penting kerana memiliki haiwan kesayangan memerlukan komitmen dari segi masa dan wang ringgit. Jika tidak haiwan yang dimiliki itu mungkin terbiar dan sebenarnya anda sudah menyeksa emosi haiwan berkenaan.

Justeru, Kubela pada kali ini ingin kongsikan perkara yang perlu diambil tahu terutama bagi individu yang berhasrat memiliki haiwan kesayangan.

PASTIKAN anda mempunyai masa untuk membelai haiwan kesayangan jika sudah memilikinya.
PASTIKAN anda mempunyai masa untuk membelai haiwan kesayangan jika sudah memilikinya.

1. Memilih haiwan yang benar-benar anda suka

Pilih haiwan yang kena dengan jiwa anda dan bukan memelihara seekor haiwan kerana ia nampak mahal, mengikut trend atau terpaksa.

Jika anda mengambil kucing angkat atau yang dibeli kerana mengikut trend mungkin mengundang masalah pada kemudian hari.

Mungkin lama-kelamaan anda sudah berasa bosan kerana trend memiliki haiwan berkenaan tidak lagi menjadi malar segar dan akhirnya anda hanya membiarkan haiwan itu tanpa diberi kasih sayang.

Perlu diingatkan bahawa haiwan juga mempunyai emosi ingin disayangi. Haiwan itu boleh berasa tertekan jika sering dimarahi atau dibiarkan sahaja. Akhirnya, haiwan yang dimiliki itu akan sakit.

2. Buat kajian atau penelitian

Jika anda sudah lama mengidamkan untuk memiliki seekor haiwan kesayangan pastikan anda membuat kajian atau penelitian terlebih dahulu mengenai ciri-cirinya supaya mudah untuk diuruskan kelak.

Bukan semua haiwan sama dari segi penjagaan. Misalnya jika anda ingin memiliki haiwan eksotik dalam kalangan keluarga cicak atau ular, ada spesies haiwan berkenaan memerlukan penjagaan khusus termasuk jenis cahaya dan makanan yang diperlukan.

Begitu juga anda perlu mengetahui sama ada haiwan yang bakal miliki itu sesuai atau tidak terutama membabitkan kesihatan pemilik supaya ia tidak menjadi sebab anda sakit.

Jangan hanya memiliki haiwan kesayangan tanpa ada ilmu pengetahuan. Jika tidak diuruskan atau dijaga dengan betul, haiwan berkenan boleh sakit dan memerlukan belanja yang tinggi untuk dirawat.

MEMILIKI haiwan kesayangan memerlukan komitmen.
MEMILIKI haiwan kesayangan memerlukan komitmen.

3. Masa

Seperti yang dinyatakan dalam pengenalan artikel ini, memiliki haiwan kesayangan memerlukan komitmen masa untuk menguruskannya. Jika anda seorang yang sangat sibuk dalam hal peribadi atau terlalu tekun bekerja dari pagi sehingga pagi. Lupakan sahaja niat untuk memiliki haiwan kesayangan.

Haiwan kesayangan memerlukan pemilik yang mampu memberi sedikit masa untuk disayangi. Jika anda terlalu sibuk dan pulang ke rumah dengan emosi sentiasa tidak menentu, dikhuatiri haiwan kesayangan anda yang ingin bermanja akhirnya menjadi tempat melepaskan kemarahan. Kesian si comel yang tidak berdosa menjadi 'punching bag' Okay!

4. Wang

Jika memiliki haiwan kesayangan anda perlu mempunyai peruntukan bajet tertentu bagi menyediakan keperluan bakal si comel itu seperti untuk kucing pastinya jenis makanan yang sesuai, pasir dan aksesori.

Malah, pastikan anda mempunyai bajet dari segi kesihatan bakal haiwan kesayangan kerana kos rawatan haiwan kadangkala menelan belanja yang agak tinggi.

5. Bersedia untuk bertanggungjawab

Apabila anda sudah memiliki haiwan kesayangan, bererti anda sudah bersedia untuk menjalankan tanggungjawab kepadanya.

Pastikan kebajikan haiwan yang dimiliki itu sentiasa terjaga dan bukan sekadar dijadikan perhiasan dalam rumah.

Tambahan pula, jika haiwan anda sudah beranak pinak, pastikan anda bersedia untuk menguruskan anak-anaknya dengan baik. Jika tidak mampu lagi membela dengan jumlah yang banyak, berikan kepada individu yang dipercayai mampu menjaganya. Selain itu, haiwan anda juga boleh dimandulkan. Jangan dibuang anak-anak haiwan kesayangan anda begitu sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 6:37 AM