SI comel memakan durian atau buah-buahan tempatan bukan sesuatu yang asing. - FOTO Google
SI comel memakan durian atau buah-buahan tempatan bukan sesuatu yang asing. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


MUSIM buah nampaknya kembali lagi. Pelbagai jenis buah-buahan tempatan terutama raja buah, durian menjadi buruan penggemarnya.

Namun, dalam kemeriahan kita menjamu buah-buahan tempatan, nampaknya ada segelintir kucing yang turut gemar menikmati rasa isi durian.

Doktor Perubatan Veterinar, Dr Nur Syafiqah Abdul Aziz berkata, bau kuat buah durian sememangnya mampu menarik minat kucing yang mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi.

Jelasnya, tiada data dan kajian yang lengkap ketika ini berkaitan kesan memakan durian terhadap kesihatan si comel.

"Bagaimanapun, si comel boleh memakan durian tetapi haruslah dalam kuantiti yang sedikit dan tidak berlebihan.

"Ini kerana durian mengandungi kandungan fruktosa yang tinggi dan tidak diperlukan badan si comel selain tidak seharusnya dijadikan diet harian," katanya.

Dr Nur Syafiqah berkata, pengambilan makanan yang mempunyai kandungan fruktosa yang tinggi bahaya untuk kucing kerana menyebabkan penyakit diabetes dan masalah berat badan.

"Makanan yang sudah diformula khas untuk si comel adalah lebih baik kerana mengandungi nutrient lengkap dan seimbang untuk kesihatan haiwan itu.

"Selain itu, sistem sensori si comel terhadap rasa manis tidak sensitif dan dalam erti kata lain tidak berfungsi dengan baik seperti manusia yang dapat membezakan kadar rasa manis dengan tepat," katanya.

TERDAPAT pelbagai jenis makanan kucing di pasaran dan perlu mengetahui diet kesayangan masing-masing. - FOTO Google
TERDAPAT pelbagai jenis makanan kucing di pasaran dan perlu mengetahui diet kesayangan masing-masing. - FOTO Google

Tambahnya, jika si comel menunjukkan sebarang simptom kesihatan selepas memakan durian, segeralah berjumpa dengan doktor veterinar bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, kucing adalah sejenis haiwan karnivor yang memerlukan sumber protein yang tinggi di dalam diet.

"Penjagaan makanan yang tepat dan seimbang adalah sangat penting supaya si comel kekal sihat dan aktif," katanya.

Berikut adalah ciri-ciri makanan yang terbaik untuk si comel anda:

a) Makanan kering

Pastikan makanan kering berkenaan ialah makanan yang diformula khas untuk si comel mengikut garis panduan yang ditetapkan Association of American Feed Control Officials (AAFCO) atau yang berkaitan. Makanan kering harus mempunyai kandungan protein yang tinggi manakala kandungan karbohidrat haruslah pada kadar rendah.

Kandungan karbohidrat yang tinggi di dalam makanan kering akan menyumbang kepada pengambilan kalori tinggi dan berlebihan.

Si comel tidak memerlukan karbohidrat di dalam diet seharian mereka dan jika ada, haruslah tidak melebihi 10 peratus.

b) Makanan basah

Makanan basah mempunyai kandungan protein yang tinggi dan berkualiti selain kandungan karbohidrat yang rendah. Kandungan air di dalam makanan basah juga tinggi iaitu lebih daripada 80 peratus berbanding makanan kering iaitu kurang daripada 10 peratus.

Si comel mendapatkan sumber air yang optimum melalui diet pemakanan kerana haiwan ini secara semula jadinya mempunyai tahap kehausan yang rendah ('low thirst drive').

AIR amat penting untuk kucing supaya tidak hidrasi. - FOTO Google
AIR amat penting untuk kucing supaya tidak hidrasi. - FOTO Google

c) Makanan tanpa garam, pewarna dan bahan pengawet

Kandungan garam yang tinggi, pewarna dan bahan pengawet di dalam makanan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan dalam jangka masa panjang terutamanya pada sistem buah pinggang si comel.

d) Makanan yang bersih dan segar

Pastikan makanan yang diberikan bukan daripada sumber yang ragu-ragu, sudah rosak atau basi kerana akan mendatangkan masalah kesihatan seperti muntah, cirit-birit dan alahan yang mampu membahayakan kesihatan si comel selain boleh membawa maut jika tidak dirawat.

e) Minuman yang bersih

Si comel harus mendapat akses kepada sumber air yang bersih secukupnya untuk memastikan sistem badan berfungsi dengan baik.

Pengambilan air yang kurang akan menyebabkan kronik dehidrasi dan boleh mengancam nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 6:43 AM