EMA menjadi kucing perliharaan Anees sejak 2014.
EMA menjadi kucing perliharaan Anees sejak 2014.
Hafiz Ithnin


BAGI Ahmad Anees Munawwar Abdul Rahman, kucing jalanan sebenarnya mempunyai nilai tersendiri jika seseorang itu benar-benar pencinta kepada haiwan dan bukan meletakkan baka tertentu untuk memilikinya.

"Kalau benar kita gemarkan kucing, tidak perlu memilih sama ada ia datang dari baka import atau tempatan kerana setiap jenis haiwan itu mempunyai keunikan tersendiri.

"Seperti saya sendiri, kedua-dua kucing yang dimiliki adalah baka tempatan dan salah satunya adalah kucing jalanan.

Manakala, seekor lagi adalah diletakkan di dalam kedai haiwan peliharaan untuk ditawarkan kepada pemilik baharu yang sudi memilikinya dan hanya perlu menderma RM50 sahaja," katanya.

Ternyata kedua-dua ekor kucing milik lelaki itu bukan sahaja comel malah keletahnya cukup menghiburkan ketika diajak untuk bergurau senda.

Kedua-dua ekor kucing milik Ahmad Anees yang diberi nama Ema dan Epa, masing-masing dimilikinya pada 2014 dan 2015.

MENONTON animasi di tablet menjadi kegemaran Epa.
MENONTON animasi di tablet menjadi kegemaran Epa.

Menceritakan mengenai menjadikan Ema sebagai kucing peliharaan, Ahmad Anees berkata, ketika itu dia mengunjungi sebuah kedai menjual binatang peliharaan dan kelihatan terdapat seekor kucing jalanan yang diselamatkan. Pada masa sama pemilik kedai mencari individu yang sudi menjadi pembelanya.

"Ketika saya melihat Ema, dia begitu aktif dan mudah berinteraksi ketika saya mengusiknya dan merasakan seperti ada hubungan yang baik jika dapat memilikinya.

"Jadi, saya membuat keputusan untuk menjadi tuan kepada Ema walaupun dia adalah kucing jalanan yang mungkin bagi sesetengah orang tidak mempunyai daya tarikan dari segi kecantikan," katanya.

EPA (atas) dan Ema yang aktif dan manja.
EPA (atas) dan Ema yang aktif dan manja.

Bercerita mengenai Epa, katanya, kucing itu ditemui di parkir kereta dalam keadan lemah, lapar dan kurus. Malah, ketika itu, Epa masih lagi kecil.

"Saya begitu kesian dan membawanya pulang. Masih saya ingat beratnya ketika ditemui tidak sampai 500 gram dan kini sudah lebih 4 kilogram (kg)," katanya.

Anees berkata, Ema dan Epa yang juga masing-mesra disapa kakak dan adik, kedua-duanya adalah kucing betina.

Katanya, perkara yang paling penting untuk memastikan kucing miliknya sihat dan kekal aktif adalah pemakanan, kerap berinteraksi dan membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali.

GELAGAT Ema mengajak Anees bergurau.
GELAGAT Ema mengajak Anees bergurau.

"Makanan pula saya berikan jenis palet kering dan juga sekali sekali makanan kucing jenis basah bagi membuatkan haiwan itu rasa gembira.

"Kucing ini sebenarnya turut mempunyai perasaan. Jika melayannya dengan baik, maka ia akan sentiasa ingin bermanja dengan kita. Malah, saya juga perlu memahami perangai masing-masing yang kadang-kala tidak mahu diganggu dan ego," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 6:12 AM