MAMPU menjana pendapatan.
MAMPU menjana pendapatan.
Muhamaad Razis Ismail

SEBUT sahaja lipas, pasti ramai yang akan terus terbayang serangga ini yang biasanya dilihat di tempat kotor.

Tidak kurang juga yang geli dan takut sebaik melihat serangga ini merayap di sekitar rumah.

Lipas cukup dikenali sebagai serangga yang makan apa sahaja termasuk benda kotor, sekali gus mengundang persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Berbeza dengan Ashi Aswat, 34, yang menjadikan lipas jenis Dubia Roaches dan Mendesing Madagascar sebagai haiwan peliharaan di rumahnya di Batu Caves, Selangor.

Ashi berkata, dia mula memelihara lipas sebagai makanan untuk haiwan eksotik peliharaannya di rumah sejak 12 tahun lalu.

Katanya, pada ketika itu, harga lipas agak mahal sehingga mendorongnya untuk membiakkan serangga itu di rumah.

"Apabila jumlahnya semakin bertambah dan melebihi daripada keperluan, saya mula menjual bekalan lipas di seluruh negara secara dalam talian sehingga hari ini.

LIPAS Dubia Roaches.
LIPAS Dubia Roaches.

"Pada masa sama, saya turut menjadikan beberapa jenis lipas sebagai haiwan peliharaan termasuk jenis Dubia Roaches dan Mendesing Madagascar," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, lipas yang dipelihara ini adalah berbeza dengan lipas tipikal yang biasa dilihat berkeliaran di rumah.

"Penjagaan serangga ini tidak boleh diambil ringan. Makanan dan persekitaran perlu sentiasa dalam keadaan bersih kerana daya tahannya berbeza dengan lipas biasa.

"Baunya tidak busuk seperti lipas biasa. Kalau lipas yang biasa dilihat di rumah tu, saya pun geli.

"Selain itu, lipas ini tidak boleh terbang, memanjat dan bergerak lebih perlahan," katanya.

Katanya, keunikan lipas ini adalah di badannya mempunyai corak dan bintik yang menarik berbanding lipas biasa.

"Jadi, tidak hairan serangga ini mampu mencecah harga sehingga RM100 sepasang," katanya.

Mengulas lanjut, setiap hari, lipas yang dipelihara diberikan sama ada buah, sayur segar dan 'roach chow.'

"Makanan ini tidak boleh dibiarkan rosak dan perlu diganti segera, selain elakkan buah-buahan yang basah.

"Saya juga hasilkan makanan sendiri yang dinamakan sebagai 'roach chow' iaitu campuran daripada beberapa bahan termasuk dedak arnab dan ayam sebagai sumber protein," katanya.

LIPAS ditempatkan dalam bekas telur.
LIPAS ditempatkan dalam bekas telur.

BUAH-buahan segar antara makanan lipas.
BUAH-buahan segar antara makanan lipas.

Katanya, semua lipas ditempatkan dalam kotak plastik bersama bekas telur dengan suhu antara 20 hingga 33 darjah Celcius.

"Pemiliknya juga perlu pastikan kotak plastik dalam keadaan baik untuk elakkan ancaman luar termasuk cicak, semut, labah-labah dan tikus yang menjadi musuh utama serangga ini ," katanya.

Ashi berkata, perkara lebih mencabar untuk memelihara lipas adalah proses membersihkan kotak plastik.

"Prosesnya agak rumit kerana kita perlu mengeluarkan bekas telur dan mengasingkan lipas dalam kotak plastik. Biasanya, setiap kotak saya ambil masa dua hingga tiga jam untuk dibersihkan.

"Jadi, tidak hairan ramai yang 'mengalah' kerana tidak dapat meluangkan masa untuk lakukan tugas ini," katanya.

Dia mengakui berdepan pelbagai reaksi berbeza apabila ada yang mengetahui berkenaan serangga peliharaannya itu.

"Ada yang takut untuk ke rumah kerana takutkan serangga ini. Saya tidak salahkan mereka kerana kesedaran dan pendedahan masih kurang.

"Peminat serangga ini pun masih tidak ramai berbanding di luar negara," katanya.

Oleh itu, bagi memberi pendedahan awal, Ashi turut berkongsi ilmu berkenaan penjagaan lipas di saluran YouTube miliknya sejak beberapa tahun lalu.

"Ini antara inisiatif kecil saya untuk memberi pendedahan berkenaan serangga ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 6:30 AM