Lenovo Yoga Pro 7 sesuai untuk penyedia kandungan laksana tugas dengan berkesan
Lenovo Yoga Pro 7 sesuai untuk penyedia kandungan laksana tugas dengan berkesan
Muhammad Saufi Hassan


Ia antara laptop untuk penyedia kandungan dan kreativiti. Selain sesuai bagi pengguna yang mahu memiliki peranti dengan keupayaan spesifikasi serta ketahanan bateri yang baik.

Menerusi Lenovo Yoga Pro 7, pengguna dapat menikmati keseimbangan spesifikasi dan keupayaan laptop berkenaan untuk melancarkan sebarang aplikasi kompleks.

Penulis boleh menyatakan bahawa Lenovo Yoga Pro 7 ini adalah hibrid bagi laptop kelas permainan dan laptop kelas perniagaan.

Menerusi perkakas keluaran Lenovo, kod nama produk dengan 'Legion' atau 'LOQ' adalah sinonim untuk kelas permainan, manakala untuk 'Thinkpad' atau 'IdeaPad,' ia kelas perniagaan.

Untuk siri 'Yoga' ini pula, ia adalah hibrid bagi kelas 'Legion' atau 'LOQ' dan 'Thinkpad' atau 'IdeaPad', Yoga adalah keseimbangan antara dua kelas itu sesuai dengan kod namanya iaitu Yoga.

Menerusi pengalaman penulis, siri Yoga ini mampu melancarkan perisian kompleks seperti suntingan video iaitu Adobe Premiere Pro, pemulihan warna yang dilancarkan DaVinci Resolve sehingga kepada pengubahsuaian gambar definisi tinggi menerusi Photoshop.

Semua perisian itu mampu dilancarkan tanpa menghadapi sebarang kerumitan seperti kelengahan, 'crash' atau sebagainya.

Siri Yoga ini juga boleh melancarkan permainan secara 'light gaming' kerana ia juga dilengkapi dengan unit pemproses grafik (GPU) daripada Nvidia GeForce RTX 3050 dengan kapasiti video memori 6GB.

LENOVO Yoga Pro 7 tawar keupayaan prestasi yang seimbang untuk kelas permainan dan ‘business’.
LENOVO Yoga Pro 7 tawar keupayaan prestasi yang seimbang untuk kelas permainan dan ‘business’.

Suntingan video yang dilakukan penulis penggunaan bahan resolusi 4K durasi 10 minit dan melaksanakan suntingan secara berlapis, tempoh 'rendering' yang diambil hanya sekitar kurang lima minit sehingga video siap untuk diterbitkan dalam resolusi 4K.

Pemulihan warna juga boleh dilakukan secara masa nyata tanpa ada kelengahan dan setiap 'raw footage' itu boleh disunting tanpa membuang masa pengguna.

Menyentuh aspek spesifikasinya, ia dikuasakan dengan pemproses AMD Ryzen 7 8845HS bersama integrasi GPU Radeon 780M.

Ia dipadankan bersama memori (RAM) 16GB LPDDR5X-6400 serta kapasiti storan 1TB M.2 PCIe NVMe SSD.

Sesuai untuk pengguna penghasil kandungan, skrin laptop ini resolusi 3K dengan saiz 14.5 inci panel IPS bersama-sama dengan kadar kecerahan 400nits.

Faktor paling menarik perhatian penulis adalah saiz laptop ini yang nipis serta ringan, sekali gus menjadikan tugasan produktiviti boleh dilakukan di mana saja tanpa masalah.

Secara kesimpulannya, laptop ini sangat sesuai untuk penyedia kandungan melaksanakan tugas mereka dengan berkesan serta memberikan optimasi dalam produktiviti tanpa mengira tempat atau masa.

LAPTOP generasi ini sesuai untuk pencipta kandungan.
LAPTOP generasi ini sesuai untuk pencipta kandungan.

Penilaian penulis

Prestasi: 4.5/5

Keupayaan: 4.5/5

Harga: 4.5/5

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 6:47 AM