Predator Helios Neo 16 dikuasakan dengan Intel Core Generasi Ke-13, (GPU) siri RTX 4000.
Predator Helios Neo 16 dikuasakan dengan Intel Core Generasi Ke-13, (GPU) siri RTX 4000.
Muhammad Saufi Hassan


LAPTOP bukan lagi satu aksesori bagi pengguna yang mementingkan tugasan tidak mengira masa atau tempat khususnya untuk penyedia kandungan yang memerlukan keupayaan peranti bagi melaksanakan tugasan kompleks.

Untuk itu, #ITMetro mencadangkan laptop terbaharu daripada generasi Predator Helios Neo 16 yang dikuasakan dengan cip pemproses Intel Core Generasi Ke-13 bersama padanan unit pemproses grafik (GPU) siri RTX 4000.

Menerusi generasi laptop Predator Helios Neo 16 ini, ia didatangkan dengan dua variasi cip pemproses iaitu Intel Core i5-13500HX dan i7-13700HX dengan padanan memori (RAM) binaan baharu DDR5, masing-masing 8GB dan 16GB 4800MHz.

Sesuai untuk laptop kelas prestasi, Predator Helios Neo 16 ini menggunakan saiz skrin 16 inci dengan paparan IPS SlimBezel bersama WQXGA bersama kadar segar semula (FPS) 165Hz sesuai untuk semua kandungan khususnya permainan.

Untuk dua variasi ini juga, GPU yang digunakan bermula daripada RTX 4050 dengan kapasiti video memori (VRAM) 6GB manakala untuk variasi cip pemproses Intel Core i7, ia menggunakan RTX 4060 8GB DDR6.

Sistem storan juga bermula daripada 512GB atau 1TB PCIe NVMe SSD malah pengguna boleh melakukan penambahan slot storan daripada binaan yang sama.

Laptop ini turut didatangkan dengan dua bahagian pembebasan haba yang diletakkan di bahagian belakang, jadi, tidak timbul isu kepanasan khususnya ketika penugasan kompleks.

Untuk ciri-ciri estetik, Predator Helios Neo 16 ini turut didatangkan dengan papan kekunci penuh dengan penyeragaman RGB bersama butang mod yang diletakkan di bahagian atas papan kekunci.

Pada masa sama, ia juga didatangkan dengan PredatorSense iaitu perisian yang membolehkan pengguna melakukan penalaan prestasi daripada 'balanced,' 'eco' atau kelas permainan mengikut pilihan.

Laptop Predator Helios Neo 16 ini dikategorikan dalam laptop kelas prestasi pertengahan dan berupaya untuk melaksanakan tugasan kompleks termasuk suntingan video dengan animasi tanpa sebarang masalah.

Penulis melakukan ujian terhadap beberapa perisian kompleks antaranya Adobe Premiera Pro untuk suntingan video bagi resolusi tinggi iaitu 4K, laptop ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk melaksanakannya.

Begitu juga dengan suntingan gambar menggunakan Photoshop, untuk gambar resolusi tinggi, Predator Helios Neo 16 ini mampu menggalas sebarang penugasan selain rutin produktiviti.

Pada masa sama, untuk pengalaman permainan, laptop generasi Predator ini sememangnya direka khusus untuk menggalas permintaan permainan terkini.

Ujian dilakukan terhadap permainan Call of Duty: Modern Warfare 2 khususnya untuk mod permainan Warzone, bacaan FPS adalah stabil sekitar 70 hingga 80 tanpa sebarang masalah begitu juga dengan judul permainan lain.

Begitu juga dengan Assassins Creed: Valhalla, bacaan FPS untuk laptop ini adalah stabil tanpa penurunan yang begitu drastik manakala haba yang terhasil tidak terlalu tinggi.

Bagi pengguna yang mencari laptop kelas permainan pertengahan, Predator Helios Neo 16 adalah jawapan tepat yang menampilkan ciri-ciri estetik di samping kuasa prestasi yang mengagumkan.

Spesifikasi

Pemproses: Intel Core i5-13500HX / i7-13700HX

RAM: 8GB / 16GB (boleh menyokong tambahan RAM)

Storan: 512GB / 1TB (mempunyai slot tambahan storan)

GPU: RTX 4050 / RTX 4060

Penilaian Penulis

Prestasi: 4.5 / 5

Keupayaan: 4.5 / 5

Harga: 4.5 / 5

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 6:48 AM