PREDATOR Helios Neo 16 turut sesuai untuk penyedia kandungan dengan perkakas berkuasa, spesifikasi terkini.
PREDATOR Helios Neo 16 turut sesuai untuk penyedia kandungan dengan perkakas berkuasa, spesifikasi terkini.
Muhammad Saufi Hassan


BAGI seorang 'gamers' atau penyedia kandungan, memiliki laptop yang berkuasa dan mampu melaksanakan kepelbagaian tugas tidak mengira masa serta tempat adalah satu impian.

Bagaimanapun, memiliki laptop yang mempunyai spesifikasi terkini pastinya didatangkan dengan tanda harga yang agak 'keras' khususnya untuk pemilihan spesifikasi tinggi.

Untuk itu, Acer menerusi generasi Predator Helios Neo 16 adalah jawapan khusus kepada pengguna kaki 'gamers' atau penyedia kandungan yang mahukan sebuah perkakas berkuasa di samping padanan spesifikasi terkini.

Bagi Predator Helios Neo 16 ini, pengguna boleh memilih sama ada tetapan cip pemproses Intel Core i5 Generasi ke-13 ataupun Intel Core i7 bersama-sama tetapan unit pemproses grafik (GPU) bermula RTX4050.

Penulis memilih untuk memiliki Predator Helios Neo 16 dengan cip pemproses Intel Core i7-13700HX bersama padanan memori (RAM) 16GB binaan DDR5 frekuensi 4800Mhz serta storan 1TB PCIe NVMe SSD.

Menyentuh aspek prestasi laptop ini, penulis melaksanakan ujian terhadap beberapa genre permainan antaranya Diablo 4, Call of Duty Modern Warfare 2 (COD:MW2) dan Forza Horizon 5.

Memberi lebih tekanan kepada laptop ini, penulis turut melakukan ujian terhadap dua perisian penyuntingan dan pembetulan warna iaitu Adobe Premiere Pro serta Da Vinci Resolve.

Menerusi ujian terhadap tiga permainan berkenaan, laptop yang dilengkapi dengan GPU Nvidia GeForce RTX4060 bersama resolusi 2560 x 1600 ini mampu menggunakan tetapan tinggi serta ultra tinggi tanpa mengorbankan bacaan bingkai sesaat (FPS).

Untuk tetapan tinggi bagi permainan Diablo 4, ia mampu merekodkan bacaan lebih 180FPS secara stabil manakala untuk COD:MW2 seperti mod permainan Warzone, FPS direkodkan sekitar 110FPS tanpa mengalami penurunan yang terlalu teruk.

ACER perkenal generasi baharu Predator Helios Neo 16 dengan variasi Intel Core i5 dan i7.
ACER perkenal generasi baharu Predator Helios Neo 16 dengan variasi Intel Core i5 dan i7.

LAPTOP ini mampu melancarkan sebarang aplikasi kompleks termasuk permainan bertaraf AAA.
LAPTOP ini mampu melancarkan sebarang aplikasi kompleks termasuk permainan bertaraf AAA.

IA dikuasakan dengan GPU Nvidia GeForce RTX4060.
IA dikuasakan dengan GPU Nvidia GeForce RTX4060.

Permainan Forza Horizon 5 turut merekodkan keadaan sama apabila FPS mampu dicatatkan pada tahap 70FPS.

Perisian suntingan video pula, Adobe Premiere Pro, untuk video resolusi 4K berdurasi 10 minit dengan penggunaan kesan grafik lebih tiga lapis, tempoh sintesis atau 'rendering' berkenaan mengambil masa 15 minit.

Pengubahsuaian warna menerusi Da Vinci Resolve juga boleh dilakukan secara masa nyata tanpa perlu menunggu, kelengahan atau sebagainya, malah laptop ini diklasifikasikan sebagai peranti kelas prestasi tinggi yang sangat baik.

Generasi laptop Predator Helios Neo 16 ini juga dilengkapi sistem penyejuk yang dipertingkatkan sesuai dengan kelas laptop ini iaitu genre permainan atau prestasi tinggi.

Ia dilengkapi dengan 89 bilah kipas daripada Generasi Kelima Aeroblade 3D dan dipadankan bersama 'liquid metal thermal grease' untuk memberikan kuasa penyejukan pada tahap paling optimum.

Skrin paparan untuk laptop ini berkeupayaan pada resolusi 1920 x 1200 atau 2560 x 1600 mengikut variasi bersama-sama skrin 165Hz kadar segar semula dan turut dilengkapi dengan 'Dynamic Display Switching' antara GPU terbina daripada Intel atau Nvidia mengikut pelaksanaan perisian.

Pada masa sama, pengguna juga boleh memilih penetapan mod menerusi PredatorSense dengan hanya menekan butang pada pad nombor, sekali gus sebarang tetapan boleh dilakukan.

Bermua daripada kegunaan harian sehingga kepada talaan prestasi, pengguna boleh memilih kelajuan kipas, warna papan kekunci dan sebagainya.

Secara keseluruhannya, Predator Helios Neo 16 variasi Intel Core i7-13700HX dengan RTX4060 ini adalah laptop berkuasa yang mampu melancarkan sebarang perisian tanpa masalah.

Jangka hayat bateri untuk mod prestasi juga adalah mengagumkan apabila mampu bertahan lebih enam jam tanpa sebarang masalah.

Penilaian penulis

Prestasi: 4.5 / 5

Keupayaan: 4.5 / 5

Harga: 4.5 / 5

Rekaan: 4.5 / 5

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 6:47 AM