Oleh Muhammad Saufi Hassan

Pengeluar peranti teknologi terkemuka, Apple menepati ramalan apabila memperkenalkan empat variasi peranti pintar paling ikonik iaitu generasi iPhone 15.

Pengenalan peranti baharu berkenaan dibuat dalam satu majlis khusus yang menggunakan tema 'Wonderlust'.

Menerusi pengenalan generasi baharu itu, peranti ikonik berkenaan akan didatangkan dengan iPhone 15, iPhone 15 Plus, iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max.

Keempat-empat peranti pintar berkenaan adalah variasi tradisi Apple untuk peranti pintar mereka.

Paling mengagumkan apabila variasi iPhone 15 Pro dan Pro Max dilengkapi dengan keupayaan cip grafik termaju sehingga mampu mengoperasikan genre permainan bertaraf AAA.

Menerusi pengenalan itu, iPhone 15 Pro dan Pro Max direka menerusi titanium gred aeroangkasa sekali gus menjadikan generasi iPhone paling ringan pernah diperkenalkan.

Dua generasi peranti kelas tinggi daripada variasi berkenaan menggunakan cip pemproses Apple Bionic A17 Pro dan ia ditawarkan dengan empat warna iaitu 'Natural Titanium', 'Blue Titanium', 'White Titanium' dan 'Black Titanium'.

Menyentuh aspek spesifikasi fizikal, peranti ini didatangkan dengan pilihan skrin bersaiz 6.1-inci dan juga 6.7-inci, masing-masing untuk iPhone 15 Pro dan juga iPhone 15 Pro Max.

Ia juga menawarkan menawarkan paparan Super Retina XDR ProMotion.   

Apple perkenal iPhone 15 Pro dan Pro Max dengan binaan Titanium.
Apple perkenal iPhone 15 Pro dan Pro Max dengan binaan Titanium.

Peranti berkenaan juga turut dilengkapi dengan penggunaan pengecas berasaskan USB-C dan pengenalan kepada butang 'Action Button' menggantikan suis deringan yang diletakkan di bahagian tepi.

Menerusi Action Button, pengguna boleh melakukan tetapan untuk ia menjadi kekunci pintas untuk melakukan beberapa perkara antaranya untuk membuka kamera, mengakses sesuatu Shortcuts, dan sebagainya. 

Tanda harga untuk variasi iPhone 15 Pro bermula RM5,499 yang ditawarkan bagi storan 128GB, 256GB, 512GB dan 1TB.

Untuk variasi iPhone 15 Pro Max pula, tanda harga bermula RM6,499 dengan pilihan storan 256GB, 512GB dan 1TB.

Pengguna di negara ini boleh mendapatkan peranti berkenaan bermula 29 September.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 7:42 AM