Oleh Muhammad Saufi Hassan


Pengeluar laptop kelas permainan terkemuka, Acer, memperkemaskan generasi baharu untuk siri Nitro dengan pengenalan padanan spesifikasi terkini.

Menerusi pengenalan berkenaan, Acer menggunakan padanan cip pemproses AMD Ryzen 7000HS bersama-sama padanan kad grafik (GPU) Nvidia GeForce Siri 4000.

Sesuai dengan kelas laptop prestasi tinggi serta permainan, Acer Nitro 16 ini menggunakan binaan memori (RAM) sehingga 32GB DDR5 5600Mhz serta storan sehingga 1TB SSD.

Laptop ini mempunyai saiz skrin 16 inci dengan paparan WQXGA paparan IPS bersama kadar segar semula 165Hz serta lima peratus lebih kawasan skrin berbanding generasi Nitro terdahulu.

Khusus untuk laptop dalam segmen prestasi tinggi dan permainan ini memerlukan keupayaan peranti bertahan pada penggunaan jangka waktu panjang.

Untuk menyelesaikan masalah haba, laptop Nitro 16 ini menggunakan sistem penyejukan 'liquid metal' yang memberi tahap efisien lebih tinggi untuk menyebaran haba.

Acer Nitro 16 ini turut dilengkapi dengan empat zon RGB Backlit untuk papan kekunci bersama-sama kekunci NitroSense untuk penalaan kuasa mengikut tetapan pengguna.

Pengguna boleh melihat sendiri binaan elegan laptop generais baharu untuk siri Nitro ini di semua Kedai Konsep Acer seluruh negara dengan tanda harga bermula RM5,799.

Sejajar dengan kempen 'Acer Day', pengguna yang melakukan pembelian sebelum 17 Ogos akan menerima Cestus 335 Gaming Mouse dan beg Predator Gaming Urban Backpack V2 dengan nilai lebih RM500.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 11:18 PM