Muhammad Saufi Hassan


KETIKA Persidangan Mudahalih Sedunia (MWC) 2023 di Barcelona, Sepanyol bulan lalu, banyak pemain teknologi utama sudah mula membincangkan mengenai keupayaan 6G.

Pada masa sama, pemain industri ini juga memperlihatkan keupayaan teknologi pada masa depan yang banyak dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI) serta Pembelajaran Mesin atau 'Machine Learning' (ML).

Sebahagian besar jentera industri pula akan banyak diambil alih oleh AI kerana ia bukan saja menjimatkan guna tenaga manusia, malah lebih efisien dalam tugasan berbentuk rutin.

Kewujudan teknologi AI serta ML ini menjadi pemangkin utama dalam Revolusi Industri 4.0 yang banyak bertitik tolak kepada automasi mesin.

Tenaga kerja manusia hanya digunakan untuk bahagian kritikal yang sehingga kini, mesin atau teknologi sedia ada belum mampu untuk menyelesaikan.

Contoh paling mudah adalah bahagian khidmat pelanggan yang bersifat bukan teknikal, semuanya sudah diambil alih oleh robot serta AI ini.

Selain itu, masa depan teknologi ini pula akan lebih berpusat kepada kepenggunaan perkakas tanpa wayar.

PEMAIN industri juga memperlihatkan keupayaan teknologi pada masa depan yang banyak dipacu oleh AI serta ML.
PEMAIN industri juga memperlihatkan keupayaan teknologi pada masa depan yang banyak dipacu oleh AI serta ML.

Menerusi MWC 2023 lalu, ada beberapa pemain industri sudah memperkenalkan teknologi storan fizikal tanpa memerlukan wayar sambungan atau 'wireless storage'.

Biarpun ia masih diperingkat percubaan, namun kewujudan teknologi berkenaan adalah trend masa depan yang akan direalisasikan.

Bidang penyelidikan, sains serta teknologi ini juga menjadi pemangkin kepada sesebuah negara dalam kemajuan ekonomi serta pemain industri utama di peringkat global.

Malaysia tidak ketinggalan dalam arus kemajuan ini, malah sedang memacu ke depan dan menjadi antara negara peneraju di rantau Asia Tenggara.

KEWUJUDAN teknologi AI serta ML menjadi pemangkin utama dalam Revolusi Industri 4.0.
KEWUJUDAN teknologi AI serta ML menjadi pemangkin utama dalam Revolusi Industri 4.0.

Pemangkin kepada segmen teknologi ini sudah pastinya institusi pengajian tinggi yang perlu memfokuskan budaya pembelajaran praktikal serta teori yang seimbang.

Ukuran kecemerlangan seseorang pelajar bukan lagi bergantung kepada peperiksaan teori semata-mata, namun keupayaan mereka dalam lapangan sebenar memberi titik pemisah sama ada kumpulan ini diterima oleh industri atau sebaliknya.

Apabila semua tugasan sudah dibantu oleh teknologi, maka secara teorinya, tenaga kerja manusia akan mengalami pengurangan untuk segmen tertentu.

TENAGA kerja manusia hanya digunakan untuk bahagian kritikal.
TENAGA kerja manusia hanya digunakan untuk bahagian kritikal.

Semua pemangkin berkenaan hanya boleh direalisasikan apabila institusi pengajian tinggi (IPT) mengutamakan bidang penyelidikan, sekali gus membudayakan pendekatan berkenaan dalam kalangan pelajar serta penyelidik pakar yang dimilikinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, institusi pengajian ini menjadi batu asas pengukur kepada keupayaan sains, teknologi dan bidang penyelidikan sesebuah negara.

"Institusi pengajian tinggi ini melahirkan tenaga pakar, penyelidik, pemikir dan sebagainya, jadi pembudayaan penyelidikan itu perlu untuk memangkin sesebuah negara serta ketamadunan.

"Oleh itu, langkah IPT untuk memberi galakan kepada pembudayaan ini sangat perlu, malah memberi keupayaan kepada negara dalam skala besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 7:00 AM