SISTEM jaringan 5G bukan saja dapat memberi manfaat besar untuk pengguna serta industri, malah pelajar serta pengkaji tidak terkecuali menerima faedahnya.
SISTEM jaringan 5G bukan saja dapat memberi manfaat besar untuk pengguna serta industri, malah pelajar serta pengkaji tidak terkecuali menerima faedahnya.
Muhammad Saufi Hassan


ERA jaringan telekomunikasi termaju iaitu rangkaian Generasi Kelima (5G) semakin hampir dan Malaysia tidak terkecuali dalam melaksanakan transformasi jaringan ketersalinghubungan di seluruh negara.

Difahamkan, negara sedang giat membangunkan infrastruktur asas kepada sokongan jaringan 5G berkenaan sebelum ia memasuki fasa komersial tidak lama lagi untuk pengguna dan pemain industri.

Sistem jaringan 5G berkenaan bukan saja dapat memberi manfaat yang besar untuk pengguna serta industri, malah pelajar serta pengkaji tidak terkecuali menerima faedahnya.

Sedar terhadap keperluan berkenaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Digital Nasional Berhad (DNB) dan pemain utama teknologi, Ericsson mengumumkan kerjasama dalam satu inisiatif pendidikan 5G di Malaysia untuk mendidik pelajar di negara ini mengenai 5G dan teknologi baharu.

Kerjasama ini membolehkan pelajar UTM mengambil bahagian serta menyumbang kepada ekonomi digital negara dan transformasi Industri 4.0.

Antara negara terawal yang berjaya melaksanakan fasa komersial adalah Korea Selatan dan hasilnya begitu memberangsangkan untuk sektor pendidikan, industri dan semua segmen rantaian lain.

MALAYSIA tidak terkecuali dalam melaksanakan transformasi jaringan ketersalinghubungan di seluruh negara.
MALAYSIA tidak terkecuali dalam melaksanakan transformasi jaringan ketersalinghubungan di seluruh negara.

Dunia kini dalam proses untuk mengguna pakai secara meluas teknologi jaringan 5G yang nyata memberi manfaat kepada semua pihak dan jaringan itu mampu mencapai kelajuan 20Gbps.

Kewujudan jaringan pantas itu membolehkan beberapa teknologi seperti robotik dan pemanduan automatik dalam kenderaan pintar berkembang.

Sebelum ini, saintis menghadapi kesukaran apabila sistem Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik yang digunakan untuk memandu sesebuah kenderaan menghadapi masalah kelewatan penghantaran data dan ia tidak boleh dipraktikkan secara meluas.

Kewujudan jaringan 5G ini yang mempunyai ciri kurang data hilang dan kecepatan penghantaran data secara efektif membolehkan teknologi itu untuk dibangunkan secara meluas.

KEWUJUDAN jaringan pantas itu membolehkan beberapa teknologi seperti robotik dan pemanduan automatik dalam kenderaan pintar berkembang.
KEWUJUDAN jaringan pantas itu membolehkan beberapa teknologi seperti robotik dan pemanduan automatik dalam kenderaan pintar berkembang.

Kerjasama ini akan membolehkan pelajar serta pensyarah mengakses sumber pembelajaran digital berkualiti yang memanfaatkan pengalaman Ericsson selama 145 tahun dalam telekomunikasi dan ICT.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, pembangunan graduan berkualiti tinggi untuk menghasilkan bakat bertaraf dunia adalah teras dan fokus strategik UTM.

"Kerjasama kami dengan Ericsson dan DNB adalah untuk menyepadukan kandungan yang dipacu industri dengan kurikulum kami, bagi membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan kami supaya berdaya saing dalam persekitaran kerja Industri 4.

"Kerjasama UTM dengan Ericsson juga selari dengan kewajipan universiti untuk menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta membolehkan rakyat Malaysia memenuhi kemahiran dan keupayaan yang diperlukan untuk ekonomi maju.

UTM bersama DNB dan pemain utama teknologi, Ericsson mengumumkan kerjasama dalam satu inisiatif pendidikan 5G di Malaysia.
UTM bersama DNB dan pemain utama teknologi, Ericsson mengumumkan kerjasama dalam satu inisiatif pendidikan 5G di Malaysia.

"Ini akan memaksimumkan potensi dan kecemerlangan individu dalam tenaga kerja melalui peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran (reskilling and upskilling)," katanya.

Pastinya, sistem jaringan 5G apabila memasuki fasa kepenggunaan secara meluas kelak bakal memberi kelebihan untuk semua segmen.

Ia tidak hanya tertumpu kepada pemain industri utama dalam hal ehwal automasi mesin serta sebagainya, sebaliknya turut memberi manfaat kepada pelajar secara keseluruhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 6:20 AM