Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerajaan negeri akan melaksanakan pemasangan WiFi percuma di sekolah agama dan masjid secara berperingkat bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, fasa pertama membabitkan 120 masjid dan 130 sekolah agama.

Katanya, pemasangan WiFi percuma di 120 masjid adalah berdasarkan lokasi yang bersesuaian dan mempunyai keupayaan jalur lebar.

"Tidak semua masjid dan surau akan dipasang WiFi ini, semua perkara ini dikaji, ia bergantung kepada lokasi kerana tidak semua masjid dan surau mempunyai liputan jalur lebar.

"Kemudahan percuma di sekolah agama di Johor juga akan dimulakan secara berperingkat dengan 130 sekolah membabitkan 50 sekolah agama gred A dan 80 sekolah agama gred B.

"Ini bagi membolehkan sistem Johor Pendidikan Islam Digital (JPID) Albayen dilaksanakan. Dalam sistem aplikasi ini ibu bapa pelajar boleh semak kerja sekolah, kehadiran, markah peperiksaan dan yuran anak mereka," katanya pada sidang media selepas sesi libat urus di Masjid Kampung Melayu Majidee di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ), Khirul Nizam Mat Said.

Terdapat 583 sekolah agama di seluruh Johor dengan kategori gred A membabitkan sekolah yang mempunyai 1,000 murid ke atas, manakala gred B mempunyai 500 hingga 1,000 murid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 4:22 PM