ONN Hafiz pada Majlis Pelancaran Inisiatif Wifi Masjid dan Surau Peringkat Negeri Johor Tahun 2023 di Simpang Renggam. FOTO Mohamad Fahd Rahmat.
ONN Hafiz pada Majlis Pelancaran Inisiatif Wifi Masjid dan Surau Peringkat Negeri Johor Tahun 2023 di Simpang Renggam. FOTO Mohamad Fahd Rahmat.
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Kadi di negeri ini diminta untuk memantau penggunaan kemudahan WiFi di setiap masjid dan surau supaya tidak disalahgunakan termasuk untuk menonton saluran Netflix.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya juga berharap anak-anak muda yang tidak dapat mengakses internet di sekolah boleh memanfaatkan sebaiknya kemudahan percuma itu termasuk bagi tujuan pembelajaran.

Katanya, kerajaan negeri berharap agar pelaksanaan inisiatif itu dapat menarik minat masyarakat untuk mendekati masjid, bukan untuk solat semata-mata tetapi sebagai pusat rujukan menuntut ilmu.

"Untuk tahun 2023, kita akan memulakan dulu pemasangan talian internet WiFi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) di 127 masjid dan 33 surau di negeri Johor yang menelan belanja sebanyak RM470,404.80 meliputi kos sewaan selama 12 bulan, kos pemasangan dan termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

"Inisiatif ini dapat memberikan manfaat kepada jemaah termasuklah orang muda Johor untuk mendapat akses internet bagi tujuan pembelajaran, celik maklumat dan pelbagai aktiviti pengimarahan.

"Semua kos ini adalah dana yang diperuntukkan MAIJ melalui peruntukan asnaf fi sabilillah.

"Sehingga 12 April 2023, sebahagian ahli kariah dari 19 buah masjid dan surau sudah mendapat manfaat ini apabila kerja -kerja pemasangan telah berjaya disiapkan," katanya pada Majlis Pelancaran Inisiatif Wifi Masjid dan Surau Peringkat Negeri Johor Tahun 2023 di Padang Kawad BN5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam di sini.

Onn Hafiz berkata, inisiatif itu adalah hasil pembentangan Belanjawan Johor 2023 yang lalu, di mana 800 buah masjid surau dalam negeri ini bakal memperoleh kemudahan ini dalam tempoh lima tahun.

"Hari ini, kerajaan negeri berhasrat untuk mengembalikan semula peranan masjid dan surau sebagai wadah dan tempat rujukan orang ramai khasnya anak-anak muda di Johor untuk kembali ke masjid melalui pemodenan institusi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 9:02 PM