GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mula membuka tawaran tugas pemasangan dan penyediaan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit untuk 839 lokasi di seluruh negara.

Projek berkenaan merangkumi Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak.

SKMM dalam kenyataan berkata, semua pemegang lesen yang berminat dan berkelayakan boleh membuat permohonan.

Katanya, mereka boleh mengemukakan draf rancangan perkhidmatan sejagat di bawah Peraturan 5, Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002.

"Lokasi berkenaan terdiri daripada penempatan Orang Asli di Semenanjung dan kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak yang mana penyediaan prasarana dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih dan selular awam akan mengambil masa untuk dilaksanakan mengambil kira kepadatan penduduk dan keadaan bentuk muka bumi.

"Semenanjung Malaysia mempunyai sebanyak 178 lokasi (21 peratus) manakala Sabah ialah 138 lokasi (17 peratus) dan Sarawak pula sebanyak 523 lokasi (62 peratus)," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan terbabit dijangka siap menjelang Oktober ini dan akan berfungsi sebagai penyelesaian yang cepat kepada masalah kesalinghubungan sebelum penyelesaian yang kekal dilaksanakan.

"Penduduk di setiap lokasi akan berpeluang menikmati perkhidmatan jaringan tanpa wayar (WiFi) percuma pada purata kelajuan 35Mbps.

"Ini ialah satu lagi inisiatif di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk memperluaskan liputan ke seluruh negara dan melengkapi pengumuman terdahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 4:14 PM