BERNAMA

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang sudah menjalankan ujian perintis untuk membangunkan infrastruktur spektrum jalur lebar 5G di tiga lokasi di sini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Menurut Chow, projek kemudahan telekomunikasi itu dilaksanakan bagi menguji ketersediaan pihak berkuasa tempatan dan negeri dalam menerima perkhidmatan 5G serta penyediaan infrastruktur yang diperlukan.

"Walaupun ada sesi libat urus dengan kerajaan Persekutuan, agensi yang akan melaksanakan 5G di Pulau Pinang dan seluruh negara, namun, disebabkan tidak pasti hala tuju tentang syarikat mana yang akan mengendalikan 5G, kerajaan negeri sudah memulakan pilot test di tiga lokasi di Georgetown," katanya ketika menjawab soalan lisan Ong Ah Teong (PH-Batu Lanchang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Chow berkata, antara faktor utama syarikat sedia ada meneruskan pelaburan dan pelabur baharu memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan mereka adalah disebabkan ketersediaan infrastruktur yang kian berkembang pesat di negeri ini.

Antara infrastruktur tersebut termasuk jalan raya, bekalan tenaga elektrik dan air, loji rawatan pembetungan serta telekomunikasi di kawasan perindustrian lama yang sentiasa dinaik taraf dan diselenggara dengan baik dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi berkaitan.

GAMBAR hiasan. Pemandangan bandar raya Georgetown. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Pemandangan bandar raya Georgetown. FOTO arkib NSTP

Sementara itu, mengenai soalan tambahan Ketua Pembangkang Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) mengenai kesediaan Pulau Pinang dalam menghadapi cabaran selepas pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Chow berkata, Pulau Pinang telah memohon dari Kementerian Pengangkutan bagi projek pembesaran Lapangan Terbangan Pulau Pinang (LTAPP).

Namun, katanya beliau dimaklumkan bahawa projek KXP dan LTAPP perlu menunggu kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) selesai dijalankan.

"Sebagai kesediaan Pulau Pinang, projek pembesaran LTAPP ini akan membantu meningkatkan daya saingan lapangan terbang namun kedua-dua permohonan projek pembinaan KXP dan pembesaran LTAPP perlu mendapat kelulusan MOT (Kementerian Pengangkutan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 1:03 PM