Siti Sofia Md Nasir


PIHAK Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sedang mempertimbang dan meneliti beberapa cadangan pembangunan Lapangan Terbang Kulim (KXP) di Kedah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, KXP yang akan dibina sebagai lapangan terbang kargo adalah projek jangka masa panjang yang bakal memberi impak positif kepada negara dan wilayah utara secara keseluruhannya.

“Kita sedang teliti setiap cadangan KXP melalui NCIA, dan selepas itu ia akan diserahkan kepada kementerian berkaitan untuk dipertimbangkan.

“Sekarang ini banyak aktiviti ekonomi di selatan Thailand adalah melalui Pulau Pinang dan sudah tentu pada masa akan datang, kapasitinya akan meningkat yang memerlukan penaiktarafan pelabuhan dan lapangan terbang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyerahan Kunci Kepada Pembeli Projek Perumahan Pangsapuri Casa Anggun oleh pemaju JKP Sdn Bhd di Georgetown, hari ini.

Mac lalu, Mohamed Azmin mengumumkan kerajaan meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat reaksi berbeza daripada kerajaan Pulau Pinang yang berpendapat pembinaan KXP akan memberi impak negatif kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan negeri itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, beliau mengambil maklum kegusaran kerajaan negeri terhadap pelaksanaan KXP yang dikatakan akan dibina pada jarak kurang 40 kilometer (km) dari Pulau Pinang.

“Mereka (kerajaan negeri) bukan bantah tetapi mereka berikan pandangan dan ia sudah pun dibincangkan. Projek KXP ini akan saling melengkapi.

“Pulau Pinang ada kekuatannya, tapi kita sedia maklum LTAPP sudah sampai tahap kapasiti maksimum untuk lakukan pembesaran.

“Jadi, dengan adanya KXP, ia boleh mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang akan memberi kebaikan kepada semua negeri di wilayah utara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 3:12 PM
MOHAMED Azmin (dua dari kanan) melihat model rumah Casa Anggun pada majlis penyerahan kunci, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.
MOHAMED Azmin (dua dari kanan) melihat model rumah Casa Anggun pada majlis penyerahan kunci, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.