MSI memperkemaskan segmen produk mereka dalam MPG Artymis 343CQR. - FOTO Google
MSI memperkemaskan segmen produk mereka dalam MPG Artymis 343CQR. - FOTO Google
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PEnggunaan skrin akan mempengaruhi pengalaman kepenggunaan termasuk prestasi ketika permainan.

Itu adalah satu kenyataan dan bukannya satu mitos memandangkan penggunaan skrin paparan yang baik terutamanya dengan ciri khusus akan mempertingkatkan keupayaan kepenggunaan terutamanya untuk permainan.

Bagi penyedia kandungan, pastinya saiz skrin paparan memainkan peranan besar terutamanya untuk melaksanakan proses suntingan.

Selain itu, kejelasan tona warna juga sangat penting supaya setiap pemilihan kesan grafik adalah sesuai.

Pengeluar perkakasan komputer kelas permainan, MSI memperkemaskan segmen produk paparan mereka dengan pelancaran MPG Artymis 343CQR baru-baru ini.

Skrin paparan itu didatangkan dengan resolusi 3440 x 1440 dengan kadar segar semula pada tahap 165Hz sekali gus sangat bersesuaian untuk genre permainan aksi pantas.

Tidak semua skrin kelas permainan di pasaran yang menawarkan pelbagai ciri khusus untuk memaksimumkan pengalaman ketika permainan.

SKRIN paparan baharu MPG Artymis 343CQR.  - FOTO Google
SKRIN paparan baharu MPG Artymis 343CQR. - FOTO Google

'Gamers' hari ini juga lebih selesa memilih skrin paparan bersaiz besar untuk ruang penglihatan yang maksimum sekali gus memberikan pengalaman permainan berbeza.

MPG Artymis 343CQR ini dilengkapi kadar lengkungan 1000R dan ia adalah tahap lengkungan paling optimum untuk mata manusia.

Paparan keluaran MSI ini juga mempunyai sudut pandangan ultra lebar sekali gus memberi nilai maksimum untuk 'kadar pandangan' (POV) pemain.

Untuk penggemar genre permainan aksi pantas, mereka memerlukan kadar segar semula yang tinggi termasuk tindak balas paparan 1ms sekali gus menjadikan MPG Artymis 343CQR adalah pilihan paling tepat.

Ia juga mampu untuk menghasilkan kesan paparan 'julat dinamik tinggi' (HDR) dengan tona warna lebih baik untuk setiap keadaan.

Paparan ini menggunakan panel VA bersaiz 34 inci serta menyokong teknologi FreeSync Premium bersama HDR400.

Bagi sambungan pula, ia didatangkan dengan satu sambungan DisplayPort 1.4, dua sambungan HDMI, USB jenis C bersama-sama sambungan USB 3.2 Gen1 jenis A dan B.

Spesifikasi

Saiz skrin: 34 Inci

Jenis panel: VA

Resolusi: 3440 x 1440 UWQHD

Kadar segar semula: 165Hz

Tindak balas: 1ms

HDR: HDR400

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 6:38 AM