Muhammad Saufi Hassan

 

TIDAK semua skrin kelas permainan di pasaran yang menawarkan pelbagai ciri khusus untuk memaksimumkan pengalaman ketika permainan.

'Gamers' hari ini juga lebih selesa memilih skrin paparan bersaiz besar untuk ruang penglihatan yang maksimum sekali gus memberikan pengalaman permainan berbeza.

MSI menerusi MPG Artymis 343CQR menawarkan semua ciri khusus untuk permainan termasuk tahap kadar segar semula yang tinggi.

Skrin paparan itu didatangkan dengan resolusi 3440 x  1440 dengan kadar segar semula pada tahap 165Hz sekali gus sangat bersesuaian untuk genre permainan aksi pantas.

MPG Artymis 343CQR ini dilengkapi kadar lengkungan 1000R dan ia adalah tahap lengkungan paling optimum untuk mata manusia.

Untuk penggemar genre permainan aksi pantas, mereka memerlukan kadar segar semula yang tinggi termasuk tindak balas paparan 1ms sekali gus menjadikan MPG Artymis 343CQR adalah pilihan paling tepat.

Ia juga mampu untuk menghasilkan kesan paparan 'julat dinamik tinggi' (HDR) dengan tona warna lebih baik untuk setiap keadaan.

Paparan ini menggunakan panel VA bersaiz 34 inci serta menyokong teknologi FreeSync Premium bersama HDR400.

Bagi sambungan pula, ia didatangkan dengan satu sambungan DisplayPort 1.4, dua sambungan HDMI, USB jenis C bersama-sama sambungan USB 3.2 Gen1  jenis A dan B.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 10:54 PM