MALAYSIA komited dengan perluasan kawasan 5G terutama di bandar utama dan langkah itu diumumkan ketika pembentangan Bajet 2022 bulan lalu. - FOTO Google
MALAYSIA komited dengan perluasan kawasan 5G terutama di bandar utama dan langkah itu diumumkan ketika pembentangan Bajet 2022 bulan lalu. - FOTO Google
Muhammad Saufi Hassan


TEKNOLOGI telekomunikasi generasi baharu iaitu 5G adalah masa depan dunia industri memandangkan ia tidak hanya menawarkan keupayaan transmisi yang tinggi sebaliknya mengurangkan kelengahan.

Seluruh dunia pada hari ini menumpukan usaha untuk memperkemaskan teknologi berkenaan dan beberapa negara maju antaranya Korea Selatan sudah pun melancarkan sistem jaringan telekomunikasi berkenaan dengan skala besar sejak setahun lalu.

Sebelum ini, saintis menghadapi kesukaran apabila sistem Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik yang digunakan untuk memandu sesebuah kenderaan menghadapi masalah kelewatan penghantaran dan ia tidak boleh dipraktikkan secara meluas.

Kewujudan sistem jaringan 5G ini bukan saja memberi manfaat yang besar kepada masyarakat, namun sektor industri akan mengalami anjakan paradigma yang besar hasil kemajuan teknologi berkenaan.

Susulan itu juga, kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 hujung bulan lalu sudah menggariskan perluasan serta penambahbaikan jaringan telekomunikasi sedia ada.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, langkah komited kerajaan untuk meneruskan perluasan perkhidmatan sistem telekomunikasi Generasi Kelima (5G) kepada 36 peratus daripada kawasan kepadatan tinggi mampu untuk merancakkan ekonomi digital secara keseluruhannya.

Beliau berkata, perkembangan sektor ekonomi digital ini banyak berteraskan kepada keupayaan jaringan telekomunikasi yang disediakan.

JARINGAN telekomunikasi termaju, 5G menjadi masa depan industri terutama membabitkan teknologi automasi.
JARINGAN telekomunikasi termaju, 5G menjadi masa depan industri terutama membabitkan teknologi automasi.

Katanya, sistem telekomunikasi 5G ini adalah masa depan dunia dan jika memperkatakan mengenai merancakkan ekonomi digital, ia perlu seiringan dengan infrastruktur sedia ada.

"Jadi, langkah kerajaan untuk memperluaskan jaringan 5G ini adalah sangat tepat kerana pertumbuhan rancak dalam aspek ekonomi digital banyak disumbangkan kepada infrastruktur telekomunikasi dan untuk ini, 5G adalah masa depan.

"Bagi fasa seterusnya, kita sangat mengharapkan bahawa perluasan jaringan 5G ini turut membabitkan kawasan sub pendalaman selain daripada bandar utama untuk mengurangkan jurang digital," katanya.

Pada pembentangan Bajet 2022, perkhidmatan 5G akan diperluaskan kepada 36 peratus daripada kawasan kepadatan tinggi termasuk di bandar utama di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Siraj berkata, perluasan kawasan liputan itu sangat diperlukan terutama untuk bandar utama di seluruh negara, namun bagi fasa berikutnya, kerajaan perlu juga melihat perluasan kepada kawasan sub bandar yang turut memainkan peranan penting.

"Sepanjang tempoh pandemik dua tahun lalu, kita dapat melihat pelbagai laporan berhubung kesukaran pelajar dan ibu bapa yang mengeluh mengenai perkhidmatan telekomunikasi kurang memuaskan sehingga mengganggu pembelajaran.

"Jadi, saya amat mengharapkan dalam suatu tempoh masa terdekat ini, pendekatan serta penambahbaikan itu dapat dilaksanakan dengan baik.

SISTEM jaringan bukan saja memberi manfaat kelajuan internet pengguna, tetapi lebih memberi manfaat kepada industri berskala besar. - FOTO Google
SISTEM jaringan bukan saja memberi manfaat kelajuan internet pengguna, tetapi lebih memberi manfaat kepada industri berskala besar. - FOTO Google

"Seperti yang kita tahu, kerajaan meletakkan sasaran bahawa negara mencapai negara maju pada 2030, sejajar dengan itu, perkhidmatan telekomunikasi juga perlu selaras dengan negara maju yang lain," katanya.

Selain itu, kerajaan menyediakan peruntukan RM20 juta untuk segmen e-Sukan termasuk RM5 juta bagi mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.

Siraj berkata, peruntukan khusus yang diberikan kepada segmen sukan elektronik (e-Sukan) mampu melahirkan lebih ramai anak tempatan berkemahiran tinggi setaraf dengan pemain antarabangsa lain.

Katanya, pengukuhan segmen e-Sukan ini juga akan membuka beberapa industri berkaitan lain antaranya pembangunan permainan itu sendiri.

"Untuk tempoh masa depan, kita pastinya tidak mahu anak tempatan ini hanya menjadi pemain sebaliknya pembangun permainan serta mewujudkan lebih banyak tenaga kerja mahir.

"Ini adalah fasa pembangunan untuk e-Sukan di negara ini dan saya mengharapkan bahawa peruntukan ini dapat dimanfaatkan termasuk infrastruktur khusus untuk tujuan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 7:00 AM