Raja Noraina Raja Rahim


INDUSTRI e-sukan negara semakin berkembang dan kini permainan elektronik bukan lagi perkara sia-sia tetapi menjadi karier serta punca rezeki yang asalnya bermula sebagai minat.

Perkembangan itu jelas dilihat apabila penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) turut menunjukkan respon menggalakkan terhadap e-sukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REV Media, Rafiq Razali berkata, pihaknya sudah menjalin kerjasama erat bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak lebih dua tahun lalu menerusi kejohanan e-sukan yang diadakan di dalam kampus.

"Ini membawa satu mesej bahawa kita mempunyai bakat baru dari seluruh negara yang perlu digilap supaya menjadi lebih hebat dan berjaya. Mereka juga mengharumkan nama institusi pengajian tinggi masing-masing.

"Oleh itu, hubungan kerjasama yang terjalin antara REV Media dan UiTM menguatkan lagi usaha kami untuk menggalakkan dan membangunkan bidang akademik, kebudayaan dan penyelidikan atas dasar keuntungan bersama dan saksama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Kumpulan REV Media dan UiTM di Shah Alam, hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani Rafiq dan Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim dengan disaksikan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Iskandar Mizal Mahmood serta Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof Dr Azizan Abdullah.

Melalui kerjasama simbiotik itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam bidang akademik seperti mengadakan pelbagai program, pertukaran maklumat berhubung perkembangan penyelidikan, teknologi, e-sukan dan pembangunan penuntut.

Selain itu, satu bilik e-sukan dibangunkan di CMT Hub UiTM bagi pembangunan elektronik dalam kalangan penuntut di samping menjalin kerjasama bagi menganjur program kejohanan e-sukan kampus (KEK) yang mana REV Media penganjur utama manakala UiTM rakan strategik.

Rafiq berkata, MoU itu akan dapat memperkasakan lagi kerjasama terbabit.

RAFIQ (kanan) dan Mohd Azraai (kiri) bertukar dokumen MoU. FOTO Asyraf Hamzah
RAFIQ (kanan) dan Mohd Azraai (kiri) bertukar dokumen MoU. FOTO Asyraf Hamzah

"Kami ingin memupuk minat dalam kalangan universiti terutama UiTM yang mana e-sukan ini bukan saja minat, malah boleh menjadi karier dan punca pendapatan sebagai atlet, 'broadcaster', 'developer games' serta lain-lain.

"Ini adalah industri yang akan meningkat pada masa depan dan menjadi satu industri untuk Malaysia," katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Azraai berkata, UiTM merancang untuk menjadi hab e-sukan dan rakan strategik bagi menggerakkan e-sukan ke IPT seluruh negara.

Katanya, ia bakal dikembangkan kepada pembangunan penyelidikan e-sukan, mewujudkan aplikasi baharu, teknologi dan digital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 1:46 PM