Muhammad Saufi Hassan


PELAKSANAAN jaringan telekomunikasi termaju Generasi Kelima atau 5G akan mengubah landskap kepenggunaan, industri dan bentuk ekonomi sesebuah negara.

Malaysia tidak terkecuali daripada pelaksanaan sistem telekomunikasi termoden berkenaan apabila kerajaan giat membangunkan infrastruktur asas untuk menyokong sistem berkenaan.

Di rantau Asia Tenggara, beberapa negara iaitu Singapura, Thailand dan Filipina antara yang terkedepan dalam pembangunan asas infrastruktur jaringan berkenaan.

Jaringan telekomunikasi 5G ini bukan saja menawarkan kelajuan yang tinggi untuk pengguna, namun ia menjadi

'enabler' terutama membabitkan sistem automasi penuh dalam segmen perindustrian.

Bagaimanapun, wujud persoalan berhubung kadar kepantasan negara dalam melancarkan teknologi berkenaan yang dilihat agak perlahan.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, negara dilihat masih terkebelakang daripada sudut pembangunan 5G jika dibandingkan dengan Singapura, Thailand dan Filipina.

SINGAPURA, Thailand dan Filipina antara yang terkedepan dalam pembangunan asas infrastruktur jaringan 5G di rantau Asia Tenggara.
SINGAPURA, Thailand dan Filipina antara yang terkedepan dalam pembangunan asas infrastruktur jaringan 5G di rantau Asia Tenggara.

"Dapatan ini diperoleh daripada OpenSignal pada Jun tahun lalu, namun keadaan itu boleh berubah jika negara melaksanakan penawaran jaringan berkenaan yang lebih meluas.

"Jika kita mampu untuk melaksanakan dalam skala yang lebih besar pastinya negara akan menjadi pemimpin dalam pelaksanaan 5G untuk rantau ini.

"Namun, persoalan besar yang perlu dilihat ialah daripada sudut kepenggunaan siber di negara ini," katanya.

Siraj berkata, perkara itu bakal memberikan 1001 persoalan kepada tabiat kepenggunaan siber negara dan pastinya lebih banyak jenayah atas talian berlaku jika pengguna masih tidak peka dengan ruang ekosistem siber.

"Untuk rekod sehingga hari ini, semua pengguna siber dalam negara kita tidak diberikan asas pendidikan yang tersusun untuk menggunakan kemudahan internet.

PENGGUNAAN 5G sudah pasti memberikan teknologi baharu yang lebih luas seperti IoT, VR serta AR dan AI.
PENGGUNAAN 5G sudah pasti memberikan teknologi baharu yang lebih luas seperti IoT, VR serta AR dan AI.

"Perkara ini memberikan kesan negatif yang banyak melalui contoh yang boleh kita lihat di platform media sosial.

"Penggunaan 5G sudah pasti memberikan teknologi baharu yang lebih luas seperti Internet Kebendaan (IoT), 'Virtual Augmented Reality' (VR serta AR), robotik dan Kecerdasan Buatan (AI)," katanya.

Beliau berkata, kalau dilihat antara kesan buruk yang tidak berjaya diselesaikan sehingga teknologi 4G adalah masalah jenayah penipuan siber atau lebih popular dikenali dengan

'Scam'.

JARINGAN telekomunikasi 5G bukan saja menawarkan kelajuan yang tinggi untuk pengguna malah jadi 'enabler' terutama babit sistem automasi penuh dalam segmen perindustrian.
JARINGAN telekomunikasi 5G bukan saja menawarkan kelajuan yang tinggi untuk pengguna malah jadi 'enabler' terutama babit sistem automasi penuh dalam segmen perindustrian.

Katanya, sekiranya penjenayah siber ini menggunakan teknologi 5G dengan optimum mungkin ada suatu sistem atau bentuk AI yang digunakan untuk tujuan jenayah tertentu pada masa depan.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan nilai kerugian mangsa penipuan siber ini dari 2019 hingga 2020 dianggarkan melebihi RM5 bilion.

"Nilai ini tidak termasuk daripada sudut kerugian disebabkan serangan siber seperti perisian hasad, serangan penggodam kecurian identiti yang memberikan nilai kerugian lebih tinggi.

"Tahap jenayah ini dilihat tidak akan reda dan sentiasa berevolusi mengikut tahap kepenggunaan teknologi pengguna," katanya.

Katanya, itu antara cabaran yang akan dilihat daripada landskap baharu tatkala teknologi 5G ini dilaksanakan secara meluas kelak dan persiapan untuk menyediakan pengguna yang lebih peka perlu dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 7:00 AM