ANTARA permainan yang menjadi kegilaan anak muda.
ANTARA permainan yang menjadi kegilaan anak muda.
Muhammad Saufi Hassan

PERKEMBANGAN sukan elektronik (e-sukan) memasuki fasa baharu apabila bidang berkenaan bakal menjadi acara pingat sempena penganjuran Sukan SEA Filipina pada November depan.

Menerusinya, penganjur mengumumkan lima permainan e-sukan akan dipertandingkan iaitu ‘Defend of The Ancient (DOTA) 2, Starcraft 2, Tekken 7, Mobile Legends: Bang Bang dan Arena of Valor.

Senarai permainan itu juga meletakkan dua judul untuk permainan mudah alih iaitu Mobile Legends dan Arena of Valor sekali gus membawa tahap yang lebih tinggi buat industri e-sukan.

Permainan itu akan dipertandingkan dalam acara pingat dan kemenangan pasukan sesebuah negara akan memberi kesan kepada jumlah kutipan pingat dalam senarai negara bertanding.

PENGANJURAN sukan elektronik di UMS perlu dijadikan contoh.
PENGANJURAN sukan elektronik di UMS perlu dijadikan contoh.

KETENGAH BAKAT MUDA

Namun, judul permainan berkenaan belum dimuktamadkan oleh jawatankuasa penganjuran Sukan SEA Filipina namun ia memperlihatkan e-sukan mempunyai masa depan yang cerah.

Oleh itu, Malaysia tidak seharusnya ketinggalan mencungkil bakat muda dalam e-sukan memandangkan ia industri dan segmen yang luas pada masa depan.

Contohnya, penganjuran secara berperingkat di dalam universiti tempatan seharusnya mendapat dorongan daripada pihak berkaitan supaya usaha mencungkil bakat itu berterusan dan tidak sia-sia.

Usaha pertandingan skala sederhana yang dianjurkan oleh Sekretariat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) wajar diberikan pujian dalam usaha mencungkil bakat muda dalam bidang e-sukan.

  MOHD Amirul Aiman
MOHD Amirul Aiman

Exco Akademik dan Kerjaya MPP Fakulti Pertanian Lestari UMS, Mohd Amirul Aiman Mohd Azzam berkata, penganjuran pertandingan itu antara lain ingin mencungkil bakat baru yang mampu untuk mengharumkan nama negara suatu hari nanti.

Menurutnya, sekretariat akan menganjurkan pertandingan ini esok (Jumaat) dan ia terbuka untuk pelajar dan kakitangan.

Katanya, empat judul permainan akan dipertandingkan iaitu Pro Evolution Soccer (PES), Mobile Legends: Bang Bang, PlayerUnknowns Battlegrounds (PUBG) dan Dota.

“Jika sedekad lalu, kita melihat e-sukan ini hanya berkembang sebagai sebahagian daripada hobi, landskap itu sebenarnya sudah berubah pada masa kini.

“Pada ketika ini, sudah ramai anak muda yang bergelar jutawan, berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi sesuatu kejohanan dunia dalam e-sukan.

“Oleh itu, platform universiti adalah tempat paling sesuai untuk mencungkil bakat muda. Kita mahukan pemain profesional e-sukan yang hebat, malah individu itu juga berjaya dalam akademiknya,” katanya.

Mohd Amirul Aiman berkata, pertandingan e-Sukan ini adalah skala sederhana dan pihak sekretariat menawarkan hadiah keseluruhan RM500.

“Ini mungkin antara lain platform baharu untuk pelajar dan kakitangan memperlihatkan bakat serta kemahiran mereka. Bidang e-sukan ini mempunyai potensi yang baik jika mengikuti haluan yang betul,” katanya.

 INDUSTRI sukan elektronik berpotensi besar
INDUSTRI sukan elektronik berpotensi besar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 1:00 PM