Muhammad Saufi Hassan


ACER Malaysia hari ini melancarkan generasi baru laptop keluarannya daripada barisan Acer Swift 5 dengan menampilkan kekuatan pemproses Intel Core i7 generasi ke-10 bagi variasi tertinggi.

Pengguna boleh memilih empat variasi laptop daripada barisan Swift 5 bermula pada harga RM3,699 hingga RM4,699.

Bagi variasi asas, Acer menawarkan laptop Swift 5 dengan pemproses Intel Core i5 daripada generasi ke-10 bersama padanan kad grafik Intel.

Menerusi dua variasi lain, Acer Swift 5 menawarkan pemproses Intel Core i5 dan i7 generasi sama termasuk kad grafik keluaran Nvidia iaitu GeForce MX250.

Untuk kelancaran pelbagai tugasan dan produktiviti, laptop ini menggunakan keupayaan memori (RAM) 8GB dan 16GB bersama sistem storan berkapasiti 512GB SSD.

Laptop Acer Swift 5 direka untuk pengguna yang sentiasa bergerak memandangkan berat peranti itu hanya 990 gram dan berukuran 14 inci.

Pengarah Perniagaan Konsumer, Produk dan Pemasaran Acer Malaysia, Johnson Seet berkata, Acer Swift 5 sesuai untuk semua keadaan dan ia mempunyai teknologi pengecas pantas.

“Laptop ini didatangkan dengan sudut pandangan luas sehingga 170 darjah pada tiga penjuru ultra nipis bersama bezel paparan panel IPS sesentuh bersaiz 3.97mm.

“Ia juga memiliki nisbah kepada badan paparan yang tinggi iaitu sebanyak 86.4 peratus dan jangka hayat bateri menjangkau 11 jam penggunaan optimum,” katanya ketika pelancaran laptop Acer Swift 5 sebentar tadi.

Pengguna boleh mendapatkan laptop terbaru keluaran Acer di semua kedai konsep Acer, stor dalam talian rasmi dan wakil penjual Acer yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 11:52 AM