Muhammad Saufi Hassan

 

 

Acer Malaysia hari ini memberi nafas baru kepada tiga segmen utama peranti keluarannya iaitu untuk tugasan harian, pembelajaran dan hiburan.

  Untuk segmen berkenaan, Acer Malaysia memperkenalkan empat laptop generasi baharu daripada barisan Acer Aspire 3, Spin 3, Spin 5 dan Swift 5 yang dipadankan dengan spesifikasi berbeza.

  Bagi laptop mampu milik khusus untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Acer Aspire 3 adalah pilihannya dan ia dilengkapi dengan variasi pemproses Intel Core i5 dan i7.

  Laptop itu juga didatangkan dengan unit pemproses grafik (GPU) Intel Iris X serta dilengkapi dengan sistem storan generasi baharu iaitu PCIe NVMe 512GB bersama-sama padanan memori (RAM) 8GB binaan DDR4.

  Acer Aspire 3 yang direka untuk pelajar dan keluarga menggunakan skrin paparan 15.6 inci Definisi Penuh (FHD) dengan padanan panel IPS.

  Peranti ini juga didatangkan dengan pra pemasangan Microsoft Office Home dan Student 2019.

  Selain itu, Acer juga mengemaskini dua variasi laptop daripada generasi Acer Spin iaitu versi Spin 3 dan Spin 5.

  Kedua-dua variasi Acer Spin berkenaan dikuasakan dengan pemproses Intel Core i7 generasi ke-11 yang dipadankan bersama RAM 16GB serta storan 512GB.

  Ia juga menggunakan Intel Iris X sebagai GPU dan untuk Acer Spin 5, ia didatangkan dengan teknologi terbaru PCIe SSD Generasi Keempat yang menyokong pemindahan data pantas.

  Acer Spin 5 menawarkan saiz 13.5 inci dengan skrin QHD panel IPS manakala untuk Spin 3 13.3 inci WQXGA dengan skrin pelbagai sentuh.

  Untuk Acer Swift 3 pula, laptop ini mendapat pengiktirafan Intel Evo dan dikuasakan dengan Intel Core i7 Generasi ke-11.

  Tanda harga bagi Acer Aspire 3 adalah RM2,899, Acer Spin 3 dan Spin 5 masing-masing berharga RM3,999 serta RM4,599 manakala untuk Swift 3 (RM3,499).

  Sempena Hari Bapa, Acer Malaysia menawarkan promosi atas talian secara eksklusif untuk laptop berkenaan menerusi gedung maya rasmi Acer di Shopee dan Lazada bermula esok hingga 21 Jun.

  Pengguna berpeluang untuk menebus kredit bernilai RM200 dan berpeluang memenangi ubahsuai daripada Woody Lab bernilai lebih RM63,000.

  

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 6:22 PM