LAPTOP produktiviti yang mungkin kurang diberi perhatian oleh pengguna namun mempunyai prestasi terbaik.
LAPTOP produktiviti yang mungkin kurang diberi perhatian oleh pengguna namun mempunyai prestasi terbaik.
Muhammad Saufi Hassan


JIKA anda mahukan laptop produktiviti yang mempunyai ketahanan bateri, mampu melancarkan sebarang perisian tanpa masalah dan fungsi yang mengagumkan, Acer Swift 3 mungkin adalah jawapan kepada semua itu.

Laptop berkenaan bukan saja begitu baik daripada aspek spesifikasinya malah ringan dan memudahkan pengguna untuk membawanya bertemu dengan pelanggan atau membuat persembahan slaid.

Menyentuh aspek spesifikasinya, laptop berkenaan menggunakan pemproses Intel Core i5-7200U serta keupayaan memori (RAM) 8GB DDR4 SDRAM.

Padanan berkenaan memberikan prestasi yang lebih baik kepada pengguna dan mampu untuk melancarkan sebarang perisian termasuk ubah suai sintesis grafik tanpa sebarang masalah.

Skrin peranti ini berkeluasan 14 inci Definisi Penuh (FHD) dan didatangkan dengan panel jenis IPS ComfyView untuk keselesaan pengguna.

Sistem storan laptop ini menggunakan 256GB SSD, manakala jangka hayat baterinya mampu mencapai lebih lapan jam walaupun menggunakan peranti berkenaan secara optimum.

Pengguna tidak perlu lagi bimbang untuk mencari sumber kuasa bagi mengecas laptop mereka kerana jangka hayat bateri yang panjang selain mudah dibawa ke mana saja.

Laptop ini turut ditawarkan dalam harga rendah serta mampu milik di samping keupayaan prestasinya yang begitu mengagumkan dan sangat sesuai untuk peranti produktiviti serta pengguna yang sering melakukan tugasan di luar pejabat.

Peranti ini juga dilengkapi dengan pelbagai sambungan termasuk beberapa sambungan USB bagi memudahkan pengguna tanpa perlu memikirkan untuk memakai sambungan tambahan.

Bagaimanapun, bahagian yang mungkin dilihat negatif adalah kurang upaya bagi prestasi pembesar suaranya dan rekaan yang dilihat terlalu biasa.

Namun, kedua-dua kelemahan itu mungkin berasaskan laptop produktiviti yang digunakan untuk tujuan kerja dan tidak memerlukan rekaan yang dinamik serta moden.

SPESIFIKASI

• Pemproses: 2.5GHz

• Intel Core i5-7200U (dual-core, 3MB cache, sehingga 3.1GHz)

• Kad grafik: Intel HD Graphics 620

• RAM: 8GB DDR4 SDRAM

• Skrin: 14-inch FHD (1,920 x 1,080) ComfyView IPS

• Storan: 256GB SSD Sambungan: 2 x USB 3.0, 1 x USB 2.0,

1 x USB 3.1 Gen 1 Type-C, 1 x HDMI, bicu audio, slot kadSD

• Jaringan Internet: 802.11ac wireless LAN, Bluetooth 4.0

• Kamera: 720p HD webcam

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 9:20 AM