TEKNOLOGI AI yang dibangunkan Microsoft.
TEKNOLOGI AI yang dibangunkan Microsoft.
Muhammad Saufi Hassan

KEMUNCULAN Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) sebelum ini memang agak membimbangkan kerana wujud persepsi kononnya teknologi itu mampu untuk menggantikan manusia dalam kerja seharian.

Ia berdasarkan fakta AI mampu mempelajari corak kehidupan manusia dan tidak mustahil untuk mempelajari ‘diri sendiri’ pada masa depan.

Bagaimanapun, itu mungkin satu persepsi yang hanya wujud dalam dunia ‘Hollywood’ apabila robot yang mempunyai AI mengambil alih tugas manusia seperti menjadi pihak berkuasa ataupun operator mesin di sebuah kilang.

Satu kajian yang dilaksanakan Microsoft dan International Data Corporation (IDC) bertajuk ‘Perniagaan Masa Depan: Menilai Potensi Pertumbuhan Asia Pasifik Menerusi AI’ membuktikan pemain industri dan pekerja di Malaysia mempercayai AI akan memudahkan tugas seharian mereka.

Menerusi kajian itu, 67 peratus pemain industri utama dan 64 peratus pekerja di negara ini percaya AI akan mengurangkan beban pekerjaan mereka namun tidak sampai ke tahap menggantikan keupayaan manusia.

Kajian itu juga membuktikan pekerja yang dibantu dengan AI akan melaksanakan tugas seharian mereka dengan lebih baik dan ia sebahagian penemuan penting dalam kajian itu.

Penemuan lain, hanya kira-kira 10 peratus daripada pemain industri utama yang mengharapkan AI mampu menggantikan pekerjaan yang dilakukan manusia dan hanya tujuh peratus daripada responden pekerja bersetuju dengan pandangan berkenaan.

Secara asasnya, kajian itu dilaksanakan terhadap 1,605 responden yang bertanggungjawab terhadap penggubalan dasar syarikat daripada 15 pasaran termasuk 100 pemain utama industri serta 100 pekerja di negara ini.

MICROSOFT melihat AI mampu menjadikan tugas harian pekerja lebih cekap.
MICROSOFT melihat AI mampu menjadikan tugas harian pekerja lebih cekap.

Berdasarkan data lanjut, kajian itu mengakui AI akan membawa kepada beberapa pengurangan tugas berulang dan mampu memperkasakan pekerja bagi melaksanakan tugas yang lebih cekap.

Pengarah Urusan Microsoft, K Raman berkata, AI memainkan peranan yang semakin penting dalam kehidupan seharian dan ia satu teknologi yang perlu dimanfaatkan semua peringkat terutama industri.

“Kajian menunjukkan AI bukanlah satu teknologi yang perlu dihindari tetapi sebaliknya untuk dimanfaatkan supaya had kita sebagai manusia dapat ditingkatkan kepada satu tahap lain.

“Ketika kami terus membangunkan sistem AI yang lebih baik, kami menjangkakan penciptaan pekerjaan baharu yang tidak wujud sebelum ini atau membuka peluang untuk tenaga kerja masa depan,” katanya.

Katanya, kira-kira 17 peratus pemimpin perniagaan percaya AI akan mencipta pekerjaan manakala enam peratus melihat AI tidak mempunyai kesan terhadap pekerjaan sedia ada.

“Begitu juga dengan 18 peratus pekerja percaya AI akan mencipta pekerjaan berasaskan pengetahuan baru dan 11 peratus berpendapat kemunculan AI tidak memberi kesan kepada pekerjaan mereka.

Kajian itu juga mendapati kebanyakan pekerja di Malaysia ingin membangunkan kemahiran baharu selaras kebangkitan teknologi terkini seperti AI.

Kira-kira 90 peratus daripada pekerja menunjukkan mereka mahu mempelajari perkara baharu dan hanya kira-kira 10 peratus menyatakan mereka tidak berminat.

“Tanpa tenaga kerja mahir yang tahu cara memanfaatkan kegunaan AI, bagaimana kita mahu melihat kemajuan ekonomi, teknologi baharu dan beberapa cabang penting pada masa depan?

“Kajian menunjukkan lebih separuh organisasi dan pekerja percaya ciri budaya dan pengetahuan AI masih kurang di Malaysia dan kebanyakan mereka ragu-ragu terhadap kesediaan untuk menggunakan elemen teknologi baharu berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 1:29 PM