Muhammad Saufi Hassan


TERLALU bergantung kepada kecemerlangan akademik bukan lagi satu pilihan yang baik untuk graduan sebaliknya mereka perlu mahir dalam penggunaan teknologi khususnya praktikal.

Penguasaan terhadap teori saja tidak mencukupi ketika ini, sebaliknya kebolehpasaran seseorang graduan turut bergantung kepada keupayaannya melaksanakan asimilasi teknologi, praktikal dan kemahiran sesuai dengan perubahan zaman.

Semua aspek itu perlu dipenuhi untuk Revolusi Industri 4.0 apabila kebanyakan bidang dikuasakan dengan sistem automasi lebih efektif, tetapi kos yang jauh lebih rendah dengan tenaga buruh.

Graduan pada hari ini bukan saja bersaing sesama sendiri, malah mereka turut 'bersaing' dengan teknologi semasa khususnya bagi bot automasi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) serta 'Machine Learning'.

Lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) yang hanya mengharapkan kepada kecemerlangan akademik semata-mata akan menghadapi waktu sukar untuk diterima masuk dalam industri.

Mereka perlu terdedah dengan teknologi semasa dan mempunyai 'pakej' lengkap untuk membolehkan diterima ke alam pekerjaan.

Untuk khidmat pelanggan, kebanyakan syarikat gergasi sudah menggunakan bot perbualan untuk menyelesaikan masalah asas dan hanya memerlukan tenaga kerja manusia untuk masalah teknikal.

Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) mendedahkan bahawa wujud persaingan sengit untuk memasuki industri khususnya bagi pekerjaan berkemahiran tinggi yang sesuai untuk graduan lepasan IPT.

Kajian itu juga menyatakan bahawa penciptaan pekerjaan oleh ekonomi negara ini adalah sekitar 258,000 sehingga 326,000 merangkumi pekerjaan mahir, separa mahir dan berkemahiran rendah.

GRADUAN bukan saja bersaing dengan graduan lain, tetapi turut bersaing dengan keupayaan teknologi semasa.
GRADUAN bukan saja bersaing dengan graduan lain, tetapi turut bersaing dengan keupayaan teknologi semasa.

Daripada jumlah itu, pekerjaan berkemahiran tinggi yang khusus untuk graduan lepasan universiti adalah 127,000 saja manakala 198,000 adalah pekerjaan kategori separa mahir dan berkemahiran rendah.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, keupayaan teknologi pada hari ini memungkinkan kepelbagaian automasi, sekali gus mengambil alih tugas pekerja manusia.

Menurutnya, graduan hari ini berdepan cabaran berkenaan dan mereka perlu 'celik' dalam teknologi tanpa mengira jurusan serta bidang kepakaran mereka.

"Sebagai contoh, penggunaan automasi dalam bot perbualan atau 'chatbot' ini sudah menggantikan tugas manusia khusus untuk bidang pekerjaan khidmat pelanggan.

"Untuk segmen itu saja, ia merangkumi hampir 10 peratus atau lebih bergantung kepada sesebuah industri.

"Ini sekali gus memberi tekanan hebat kepada penawaran pekerjaan dan perkembangan teknologi pada masa depan pastinya terus memberi 'persaingan' kepada graduan," katanya.

Menurutnya, jika dilihat kepada suasana global, langkah pengurangan pekerja oleh gergasi teknologi seperti Google, Amazon dan beberapa entiti lain adalah berpunca daripada perkembangan teknologi automasi ini.

Sementara itu, Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan, Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, isu utama yang membelenggu graduan adalah ketidakpadanan pekerjaan di antara kelayakan yang mereka peroleh dengan pekerjaan yang mereka lakukan dalam ekonomi.

Menurutnya, insiden ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan graduan wujud disebabkan ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran buruh.

"Dari aspek sisi permintaan, industri di Malaysia secara keseluruhannya lebih banyak mengaji pekerja separa mahir (semi-skiled) dan berkemahiran rendah (low-skilled) berbanding dengan berkemahiran tinggi (high-skilled).

"Dalam tempoh 1990 sehingga 2000, purata penciptaan pekerjaan untuk berkemahiran tinggi dianggarkan sekitar 127,000 setahun manakala 198,000 lagi adalah untuk pekerjaan kategori separa mahir dan berkemahiran rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 7:00 AM