RAINBOW Six:Siege kekal bertahan selepas empat tahun dilancarkan.
RAINBOW Six:Siege kekal bertahan selepas empat tahun dilancarkan.
Muhammad Saufi Hassan


JANGKA hayat bagi sesebuah judul permainan terutama yang membabitkan genre pertempuran dalam talian (multiplayer) kebiasaannya tidak dapat bertahan lama dan ia sangat bergantung kepada perancangan pembangun sesebuah judul.

Kejayaan permainan siri Counter Strike yang dibangunkan Valve Corporation wajar dijadikan contoh terbaik apabila kekal bertahan hampir 20 tahun, namun terpaksa mengalah dengan kepelbagaian mod permainan terutama kemunculan pertempuran beramai-ramai (battle royale) dalam dunia terbuka.

Namun, pembangun serta penerbit permainan terkemuka, Ubisoft menerusi siri permainan Tom Clancy’s Rainbow Six:Siege (R6:Siege) masih kekal bertahan sejak ia dilancarkan 2015 dan jumlah purata pemain aktif masih mencatatkan puluhan ribu.

Penulis ingin mengingatkan bahawa R6:Siege bukan permainan baru berada di pasaran namun pembangun permainan itu bijak memberi nafas baru untuk setiap musim menerusi pelancaran pelbagai episod baru.

Untuk pengetahuan semua, R6:Siege sudah memasuki tahun keempat musim keduanya dan secara tradisinya, setiap musim berkenaan akan memperkenalkan dua operator baru yang dilengkapi pelbagai gajet serta persenjataan yang baik.

Lebih menarik apabila Ubisoft menjadikan setiap operator mereka daripada pelbagai pasukan elit seluruh dunia seperti Delta Team, Spetsnaz, Pasukan Khas Jerman yang dikenali sebagai GIGN, Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) iaitu FBI dan pelbagai pasukan khas daripada negara lain.

PEMBANGUN permainan, Ubisoft bijak menempatkan permainan ini antara yang paling popular setakat ini.
PEMBANGUN permainan, Ubisoft bijak menempatkan permainan ini antara yang paling popular setakat ini.

Ia sekali gus memberi nafas kepada permainan ini dan setiap pemain menantikan kemunculan operator baru untuk setiap musim.

Permainan ini menampilkan ciri penembak pertama taktikal dan setiap sesi permainan dianggotai lima anggota yang boleh dipilih sama ada daripada pihak penyerang (attack) atau bertahan (defend).

Berdasarkan jumlah pemain secara purata, ketika permainan ini dilancarkan, jumlah purata pemain untuk satu-satu masa hanya mencatatkan sekitar 7,000 dan jumlah terbaru dikeluarkan pada April lalu adalah 61,000.

Jumlah pemain aktif ini sangat penting jika menyentuh aspek mod permainan dalam talian kerana pemain tidak perlu menunggu lama untuk memasuki setiap sesi (matchmaking) dan waktu purata menunggu adalah 30 saat saja.

Bagi genre permainan yang menampilkan penembak pertama taktikal, pujian perlu diberikan kepada Ubisoft kerana masih mengekalkan mutu permainan dan judul berkenaan masih relevan sehingga kini terutama kepada pemain baru.

Jika bercakap isu permainan yang sudah mati (dead game), R6:Siege seakan mempunyai jangka hayat yang masih panjang berdasarkan jumlah pemain aktif dan judul itu turut mempunyai siri liga profesional yang dianggotai pemain handalan daripada pasukan tertentu.

JUMLAH pemain aktif permainan ini mencapai 61,000 pada April lalu.
JUMLAH pemain aktif permainan ini mencapai 61,000 pada April lalu.

Bagaimanapun, persoalan besar yang wajar dihadapi adalah mampukah Ubisoft sekurang-kurangnya menyamai rekod permainan Counter Strike memandangkan kini wujud bermacam judul permainan baru yang diterbitkan hampir setiap bulan.

Ia tidak mustahil jika pembangun permainan bijak untuk membawa nafas baru dan paling utama adalah sistem nyah penipuan (anti cheats) untuk membolehkan permainan itu kekal relevan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 9:55 AM