GAMBAR 1: Gunakan bedak wajah yang sesuai dengan kulit wajah. Gambar 2, jangan gunakan pemerah pipi secara keterlaluan.
GAMBAR 1: Gunakan bedak wajah yang sesuai dengan kulit wajah. Gambar 2, jangan gunakan pemerah pipi secara keterlaluan.
Siti Nadirah Hafidzin


KEBANYAKAN wanita sangat cerewet apabila menyentuh soal rona gincu kegemaran kerana ia seolah-olah pelengkap dalam solekan.Tidak dapat dinafikan, gincu antara alat solek penting wanita kerana calitannya bukan saja mencantikkan wajah, sebaliknya menyerikan penampilan yang kusam.

Hakikatnya, ramai wanita tersalah langkah kerana hanya memikirkan soal gincu sedangkan warna bedak dan pemerah pipi yang tepat sebenarnya sangat memainkan peranan dalam solekan.

Namun disebabkan kurangnya ilmu solekan, hampir kebanyakan wanita hanya memikirkan mengenai gincu semata-mata dan meminggirkan keperluan memilih rona bedak dan pemerah pipi yang sesuai dengan warna kulit wajah.

Akhirnya penampilan diri kelihatan seperti ‘badut’ kerana perlu diketahui ton bedak yang digunakan adalah kuasa utama solekan ditambah dengan layangan pemerah pipi yang tidak keterlaluan.

Tidak kiralah apa juga jenis solekan yang dikenakan sama ada sederhana atau mempunyai tema tersendiri, perlulah menggunakan ton bedak yang tepat.

Menjelas lanjut mengenai pemilihan warna gincu, perunding kecantikan, Emelia Roslan berkata, biarpun gincu adalah alat solek penting, tidak dinafikan kuasa sebenar solekan adalah pada bedak yang digunakan.

“Masih ramai wanita yang teragak-agak ketika memilih bedak wajah yang sesuai. Ada yang memilih ton terlalu cerah sehingga menjejaskan kesan keseluruhan solekan. Tidak kurang yang membeli ton bedak terlalu gelap dan berbeza dengan kulit wajah.”

Sebaiknya pilihlah ton yang paling hampir dengan kulit wajah bagi mendapatkan hasil solekan yang memukau. Jangan lupa menggunakan bedak asas yang sesuai bagi memastikan solekan dikenakan itu sepadan,” katanya.

Emelia berkata, selain soal bedak, wanita perlu tahu teknik tepat menggunakan pemerah pipi supaya penampilan tidak nampak janggal.

“Ini antara perkara yang perlu diberi keutamaan kerana ramai wanita yang dengan yakin melayangkan pemerah pipi sesuka hati yang akhirnya menyebabkan penampilan kelihatan kelakar.”

“Apatah lagi jika pemerah pipi itu adalah daripada warna terang seperti merah jambu pekat atau jingga terang. Sebaiknya pilihlah pemerah pipi berasaskan warna tanah kerana ia nampak lebih selamat dan manis dipandang,” ujarnya.

Tambah Emelia, paling utama biarlah penampilan itu nampak sederhana. Pastikan juga sapuan bedak tidak bercapuk dan tidak kena dengan kulit wajah.

“Apa juga jenis kulit yang dimiliki, pastikan memilih warna yang lebih tua atau gelap daripada warna kulit wajah anda. Ini bertujuan mengelakkan wajah anda kelihatan seperti menggunakan topeng atau kelihatan pelik serta tidak sesuai,” katanya.

Emelia berkongsi langkah pemilihan bedak wajah yang tepat mengikut warna kulit:

KULIT GELAP

Meskipun memiliki kulit gelap, bukan bermaksud anda perlu mengelakkan penggunaan bedak. Bedak yang digunakan akan membuatkan wajah anda nampak lebih bermaya dan segar. Untuk wanita yang memiliki kulit gelap boleh memilih bedak dengan warna coklat atau ‘tropical beige’.

KUNING LANGSAT

Wanita Asia rata-ratanya memiliki kulit kuning langsat. Jika anda memiliki warna kulit itu, warna bedak yang sesuai adalah kekuningan atau ‘yellow beige’.

SAWO MATANG

Sekiranya anda memiliki kulit sawo matang atau kulit yang tidak terlalu gelap namun tidak juga kuning langsat, anda boleh memilih bedak dengan warna semula jadi ‘natural beige’.

KULIT CERAH

Pemilik wajah berkulit cerah sebaiknya memilih bedak dengan ton putih atau biasa disebut sebagai ‘white cream’.

KULIT KEMERAHAN

Wanita yang memiliki kulit kemerahan, pastikan untuk memilih bedak dengan ton ‘ivory’ atau warna gading.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 4:00 AM