KERONGSANG tahan lasak.
KERONGSANG tahan lasak.

Siti Nadirah Hafidzin

[email protected]

Kerongsang sangat sinonim dengan wanita khususnya yang berhijab kerana selain pelengkap gaya, ia juga antara aksesori penting bagi memastikan penampilan sentiasa kemas.

Atas faktor itu, pelbagai fesyen kerongsang dicipta bagi memenuhi permintaan pengguna yang mempunyai pelbagai cita rasa.

Ada yang memilih kerongsang kerana sinar dan bentuknya, ada juga kerana keunikan fesyennya. Paling biasa, wanita membeli kerongsang yang paling sesuai dipakai di tudung atau busana.

Terbaharu, jenama aksesori tempatan JueReen menghasilkan kerongsang kecil yang direka berunsurkan bunga.

Pengasasnya, Hairil Juriah Tajuddin berkata, kerongsang itu dihasilkan mengikut elemen istimewa tersendiri iaitu tidak terlalu tajam sesuai digunakan wanita yang mempunyai alahan di dagu.

“Selain itu, kerongsang ini tahan lasak, tidak mudah berkarat dan rosak serta tidak mudah tercabut walaupun sekiranya termasuk dalam mesin basuh.

“Kami turut memberikan jaminan selama empat bulan dan tiada kos upah sekiranya dihantar untuk dibaiki,” katanya.

Katanya, bagi membantu semua golongan mampu mendapatkan kerongsang itu, ia dijual pada harga berpatutan iaitu RM6 hingga RM20 bergantung kepada jenis rekaan dan bentuk.

“Keistimewaan kami adalah pada aspek reka bentuk kerana semua kerongsang direka sendiri bagi memastikan ia tidak sama dengan kerongsang di pasaran.

“Sesiapa saja sesuai menggayakan koleksi ini terutama wanita bertudung yang mahukan kerongsang ringkas, tetapi manis dipandang,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 4:30 AM