KINI bukan saja dipakai, malah turut jadi perhiasan dekorasi.
KINI bukan saja dipakai, malah turut jadi perhiasan dekorasi.
ALAS meja yang dihiasi kerongsang.
ALAS meja yang dihiasi kerongsang.
SESUAI sebagai perhiasan atau kegunaan harian.
SESUAI sebagai perhiasan atau kegunaan harian.

Diminati ramai dan impak yang diberi kepada pemakai amat mengagumkan.

Itu antara keunikan kancing baju atau kerongsang yang biasa digayakan bersama baju kebaya labuh atau kebaya pendek.

Hiasan baju ini terkenal dalam kalangan orang Melayu, Portugis, Nyonya Peranakan dan kaum Chetti di Melaka sejak berkurun lamanya.

Kerongsang dipakai bersama persalinan baju moden atau dilekatkan pada sudut sebelah kiri baju kot.

Ia juga digunakan pengantin lelaki untuk menghiasi songkok. Pemakaian kerongsang membuatkan baju yang polos kelihatan lebih berseri dan menawan.

Pada masa sama kerongsang sering dipakai sebagai aksesori tambahan bagi wanita yang suka bergaya ringkas.

Menariknya kerongsang diperbuat daripada bahan seperti perak, tembaga dan piuter.

Ia mempunyai pelbagai bentuk, corak dan motif. Kerongsang yang mempunyai tiga keping hiasan dikenali sebagai kerongsang ibu dan anak.

Kerongsang besar dan di atas sekali dikenali ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak.

Dewasa ini, aliran rekaan tradisional dan kontemporari seperti motif pending dan kerawang sering mendapat permintaan yang tinggi selain motif bunga raya dan daun sirih.

Bukan sahaja sebagai pelengkap gaya, kerongsang juga amat sesuai dijadikan sebagai buah tangan kepada sahabat handai atau kaum keluarga.

Adanya tukang mahir atau usahawan produk kraf dari bidang ini, tempahan juga boleh dilakukan mengikut kreativiti tersendiri samaada moden atau tradisional.

Selain menjadi pelengkap gaya busana, kerongsang juga menjadi nilai tambah kepada produk hiasan dalaman.

Reka bentuk kerongsang yang menarik dalam pelbagai rupa dan warna membuatkan produk hiasan dalaman berubah dan tanpak lebih eksklusif serta unik.

Produk hiasan seperti kusyen, alas meja, kerusi dan kotak serba guna adalah antara produk yang mendapat suntikan nilai tambah berilhamkan kerongsang.

Panduan penjagaannya pula mudah, cuma elakkan kerongsang terkena minyak wangi atau cecair yang mempunyai alkohol supaya warnanya tidak pudar dan hilang.

Maklumat lanjut di www.kraftangan.gov.my untuk sebarang keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:01 AM